Tiada gelombang kedua air pasang besar diramalkan

Bernama
Oktober 19, 2016 23:18 MYT
Rumah dimusnahkan oleh ombak akibat fenomena air pasang besar di Pandat Remis, Selangor pada 17 Oktober 2016. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Fenomena air pasang besar yang melanda beberapa negeri sejak Jumaat lepas dijangka berakhir hari ini dan setakat ini tiada kebarangkalian gelombang kedua diramalkan pada bila-bila masa.
Ketua Pegawai Eksekutif Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB), Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata fenomena itu bagaimanapun dijangka melanda kembali menjelang akhir tahun apabila bumi, matahari dan bulan berada pada kedudukan selari, menyebabkan tarikan graviti.
"Ini yang menyebabkan air pasang, namun keadaannya lebih kurang sama kali ini, dan menjadi lebih dahsyat apabila ditambah dengan hujan," kata beliau pada sidang media selepas Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Aplikasi bagi Pengurusan Bencana ke-2 di sini hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau.
Ahmad Sabirin berkata demikian ketika ditanya mengenai kebarangkalian gelombang kedua air pasang besar melanda.
Madius juga berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memantau perkembangan sebarang bentuk bencana di negara ini dari semasa ke semasa.
"Kita akan memberi maklumat kepada yang akan terlibat, orang ramai, supaya semua terlibat akan bersedia," kata beliau.
Terdahulu, Madius berkata MOSTI melalui agensinya seperti ATSB, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Remote Sensing Malaysia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bahaya bencana dengan memberi bantuan teknikal kepada pihak-pihak terlibat.
Beliau berkata susulan pelbagai insiden bencana di negara ini, beberapa langkah termasuk sistem amaran awal mengesan banjir telah ditingkatkan.
Ini termasuk memasang 15 stesen seismik - lima di Kota Kinabalu, dua di Lahad Datu, dan lapan di pelbagai tempat di Sabah, dan 53 unit siren tsunami di lokasi-lokasi strategik di Malaysia bagi memberi amaran lebih cepat mengenai tsunami. - Bernama
#air pasang besar #ATSB #Dr Ahmad Sabirin Arshad #gelombang kedua
;