Tiada gangguan bekalan minyak masak peket 1kg di Pulau Pinang
Bernama
Oktober 19, 2022 19:25 MYT
Oktober 19, 2022 19:25 MYT
GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesahkan tiada gangguan bekalan minyak masak peket 1 kilogram (kg) dalam pasaran di negeri itu.
Pengarahnya, S. Jegan, berkata berdasarkan pemeriksaan ke atas beberapa premis runcit dan pasar raya di seluruh Pulau Pinang mendapati bekalan minyak masak peket ada di pasaran.
"Selain itu, kami juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 24 syarikat pembungkus yang membekalkan 3.434 juta kg minyak masak bersubsidi 1kg setiap bulan di Pulau Pinang dan turut mendapati tidak berlaku gangguan di peringkat pengeluaran serta pengedaran ke pasaran.
"Setakat ini, sejumlah 1.9 juta kg telah diedar kepada pasar raya dan peruncit untuk kegunaan domestik di seluruh Pulau Pinang dengan baki berjumlah 1.5 juta kg lagi akan diedarkan sepanjang bulan ini,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menjangkakan permintaan minyak masak peket bersubsidi 1kg di pasaran akan meningkat untuk persediaan dan persiapan menjelang perayaan Deepavali, Isnin ini.
Semalam, media melaporkan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa bekalan minyak masak peket bersubsidi berkurangan di kebanyakan kedai runcit di negeri itu sejak beberapa minggu lalu dan ia amat membimbangkan berikutan perayaan Deepavali.
-- BERNAMA
#KPDNHEP Pulau Pinang
#gangguan bekalan minyak masak peket
#Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna
#S Jegan