Tiada 'Error 404' pun, 'dashboard' Projek Daif dapat diakses
Nickyson Nyambar
Oktober 5, 2021 20:27 MYT
Oktober 5, 2021 20:27 MYT
KUALA LUMPUR : Papan pemuka atau dashboard bagi Projek Daif yang memaparkan maklumat sekolah-sekolah daif di seluruh negara seliaan Kementerian Pendidikan sebenarnya dapat diakses.
Ini sekali gus, bercanggahan dengan kenyataan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dalam sidang Dewan Rakyat pada Selasa, yang mendakwa dashboard berkatian projek itu 'tidak lagi berfungsi'.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, dalam jawapan beliau di Dewan Rakyat sejurus selepas Maszlee bertanyakan soalan itu, beliau telah mendapatkan data dari pautan terbabit dan dashboard berkenaan masih berfungsi.
"Sebenarnya baru saya semak dalam perbincangan kita menyediakan draf ini, kita sudah semak apa yang terdapat dalam dashboard. Pada waktu itu (ia) berfungsi. Let me check, kita selesaikan, perkara kecil sahaja.
"Kita tidak menyorok apa-apa pun dan kita sentiasa telus dan semua pihak boleh tengok apa yang kita laksanakan dalam konteks sekolah daif," katanya.
"Pada masa ini juga, kita memberi satu perhatian khusus kepada sekolah daif bagi memastikan supaya ianya dapat dilaksanakan dengan lebih cepat kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, banyak penangguhan dalam konteks pelaksanaan pembinaan dan juga penambaikan sekolah-sekolah daif di seluruh negara," tegas Radzi lagi.
Dalam sidang yang sama, Maszlee turut menyuarakan, adalah tidak adil untuk mempersoalkan ketelusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini berbanding dengan kepimpinan sedia ada berhubung isu berkenaan.
"Dulu kita pernah ada dashboard untuk ceritakan perkembangan sekolah-sekolah daif supaya rakyat boleh memantau, supaya Ahli Parlimen (MP) kita boleh memantau.
"Peliknya, bila saya buka pautan kepada dashboard itu, sekarang ini tinggal Error 404. Maksudnya, dashboard telah tiada lagi.
"Jadi, untuk menyamakan ketidaktelusan di zaman Yang Berhormat Menteri, dengan di zaman kami, itu tidak benar sekali.
Maszlee dalam satu perkongsian di laman Twitternya berkata, rakyat mempunyai hak untuk memantau dan Kerajaan tidak mengamalkan ketelusan.
"Jadi saya minta tarik balik kenyataan tersebut. Kami ada dashboard, MP boleh pantau, rakyat boleh pantau, sekarang ini di zaman Yang Berhormat Menteri, adalah 404, tidak telus," katanya.
Bagaimanapun, pemerhatian Astro AWANI mendapati dashboard Projek Daif, dapat diakses seperti biasa.
Dashboard ini dimuatkan dengan kemas kini data dan maklumat terkini sekolah-sekolah daif yang dinaik taraf di bawah program pembaikan sekolah daif.
Ia boleh diakses di sini.