Tiada ejen atau orang tengah dilantik untuk uruskan e-Kad - KP Imigresen

Bernama
Februari 13, 2017 22:40 MYT
MUSTAFAR: Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah bagi menguruskan proses permohonan E-Kad untuk PATI. - Gambar fail
Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah bagi menguruskan proses permohonan kad sementara atau 'Enforcement Card' (E-Kad) untuk pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata majikan sebaliknya perlu hadir sendiri dan membawa pekerja mereka untuk permohonan kad berkenaan yang boleh dimohon secara percuma bermula Rabu ini sehingga 30 Jun depan.
Beliau berkata pendaftaran itu boleh dibuat di semua pejabat Imigresen di Semenanjung Malaysia sahaja, tidak termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Syaratnya majikan perlu membawa pekerja mereka untuk proses pendaftaran biometrik bagi memastikan PATI yang berdaftar tiada rekod jenayah, lulus pemeriksaan kesihatan dan rakyat dari negara sumber yang dibenarkan.
"Tawaran ini hanya sah sehingga tempoh ditetapkan dan berharap majikan akan membuat permohonan seawal mungkin dan tidak pada saat akhir, kerana Jabatan Imigresen tidak akan melanjutkan tempoh permohonan selepas tamatnya pada 30 Jun nanti," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Mustafar, pihaknya tidak akan teragak-agak mengusir PATI berkenaan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang masih gagal mendaftarkan PATI termasuk membekukan aset dan akaun.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Jan lepas dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperoleh kebenaran dari Jabatan Peguam Negara untuk mengeluarkan kad sementara kepada PATI yang bermajikan.
"Selepas pengumuman ini dibuat, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan mengenakan bayaran hingga RM7,000 kepada PATI untuk mendapatkan kad berkenaan," kata Mustafar.
Susulan itu, Mustafar berkata pihaknya baru-baru ini menahan tiga individu yang disyaki terbabit mengeluarkan kad palsu dan mengambil duit secara haram daripada PATI untuk proses permohonan E-Kad.
Beliau menegaskan bahawa E-Kad yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti biometrik, nombor pendaftaran dan nama syarikat, kod bar dan tandatangan Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Polis Negara.
Kepada satu soalan, beliau berkata E-Kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Feb tahun hadapan dan dalam tempoh itu, PATI serta majikan perlu mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan yang sah dari kedutaan masing-masing bagi tujuan pemutihan.
"Kita sasarkan kira-kira satu juta PATI akan mengambil peluang berdaftar dalam program ini yang hanya dibuka kepada mereka yang mempunyai majikan tergolong dalam sektor pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian," katanya.
Kepada PATI yang tinggal melebihi tempoh masa ditetapkan, Mustafar berkata majikan dan pekerja asing boleh mendaftar di bawah program E-Kad tetapi akan dikenakan kompaun minima RM500 untuk majikan dan RM300 bagi setiap pekerja.
Majikan yang didapati menggaji PATI tanpa berdaftar akan dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63, kata beliau.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Mustafar Ali #e-kad #KDN #pati
;