'Tiada duta bertaraf menteri', Fahmi anggap ia pembaziran kerajaan sebelum ini

Umavathi Ramayah
Disember 13, 2023 16:25 MYT
Fahmi berkata, pelantikan duta bertaraf menteri adalah pembaziran yang pernah diamalkan oleh kerajaan sebelum ini. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil secara berseloroh menyatakan 'kecewa' dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak melantik duta bertaraf menteri dalam Kerajaan Madani.
Beliau menjelaskan, pelantikan seperti itu adalah pembaziran yang pernah diamalkan oleh kerajaan sebelum ini.
"Saya rasa ada yang kecewa termasuk diri saya sendiri bahawa Perdana Menteri kali ini langsung tidak membuat lantikan duta bertaraf menteri... yang dibayar elaun berpuluh-puluh ribu ringgit tapi langsung tidak menghasilkan apa-apa seperti yang berlaku (dalam kerajaan) sebelum ini.
"Saya kecewa, tapi Alhamdulillah amalan buruk itu tidak dilakukan pada kali ini," katanya secara berseloroh dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pembangkang yang menyifatkan rombakan Kabinet pada Selasa itu sebagai satu pembaziran.
Mengulas lanjut Fahmi menegaskan, pembentukan Jemaah Menteri kali ini adalah jauh lebih baik dari segi jumlah keupayaan dan pengalaman.
Pada masa sama, beliau turut mengajak ahli-ahli di blok pembangkang supaya tampil menyuarakan kekecewaan supaya dapat mencari solusi bersama.
"Bagi mereka yang kecewa, saya nasihatkan jangan pendam rasa kecewa, tampillah ke meja rundingan seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, kita putuskan beberapa perkara, kita hidup berharmoni, rukun aman damai dan bentuk modus vivendi yang baharu supaya kita dapat fokus kepada masalah rakyat serta bangun bersama," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi menjelaskan, pejabat Kementerian Digital akan beroperasi di Menara Usahawan.
"Perkara itu telah dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara dan proses untuk membentuk kementerian itu sedang berjalan," jelasnya.
#rombakan kabinet 2023 #Kabinet Malaysia 2024 #Fahmi Fadzil #duta bertaraf menteri
;