Tiada diskriminasi di wad bersalin Hospital Melaka - JKN

Bernama
Disember 16, 2021 16:57 MYT
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menafikan wujudnya amalan pilih kasih atau diskriminasi terhadap pesakit sewaktu proses kelahiran di wad bersalin Hospital Melaka. - Gambar fail/Wikipedia
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menafikan wujudnya amalan pilih kasih atau diskriminasi terhadap pesakit sewaktu proses kelahiran di wad bersalin Hospital Melaka.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata demikian bagi mengulas isu yang tular di Facebook GPMC 5.0 pada 11 Dis lepas berhubung pesakit yang tidak menerima layanan sama rata semasa proses kelahiran bayi di hospital berkenaan.
"Tiada diskriminasi atau pilih kasih dalam perawatan pesakit ini. Malah secara keseluruhan, Hospital Melaka telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Ibu Mengandung Dengan COVID-19," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Rusdi berkata pesakit berumur 39 tahun yang mengandung anak keempat dengan usia kandungan 37 minggu itu hadir ke Kaunter Saringan Wad Bersalin (prapenilaian) kira-kira 11 malam pada 28 Nov kerana mengalami tumpah air ketuban.
"Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan bertugas mendapati pesakit mempunyai gejala selesema dan tiada deria bau selama dua hari. Pesakit diarahkan menjalani ujian calitan RTK Antigen (RTKAg) bagi pengesanan awal COVID-19," katanya.
Beliau berkata keputusan ujian saringan tersebut didapati positif dan pesakit ditempatkan di Bilik Isolasi Khas Pesakit COVID-19 dalam wad bersalin.
Katanya, pesakit dan suaminya turut dimaklumkan bahawa cara kelahiran adalah secara pembedahan yang dijadualkan pada waktu malam sekiranya ada tanda-tanda bersalin dan jika sebaliknya pada keesokan hari.
"Pada 29 Nov sekitar 6.15 pagi, pesakit telah mengalami kontraksi dan persediaan untuk pembedahan kecemasan telah dilakukan. Pada 7.25 pagi, kakitangan bertugas telah mendengar pesakit meminta bantuan. Kakitangan telah melakukan proses 'donning' untuk persediaan menyambut kelahiran bayi," jelasnya.
Bagaimanapun, Dr Rusdi berkata sekitar 7.33 pagi, pesakit melahirkan seorang bayi secara bersendirian di atas katil bilik isolasi sebelum kakitangan sempat mengendalikan proses kelahiran tersebut.
Beliau berkata bayi dan ibu berada dalam keadaan baik selepas kelahiran walaupun transisi proses kelahiran pada pesakit berlaku dengan pantas memandangkan ini adalah kelahiran keempat pesakit.
"Hasil ujian PCR oleh Makmal Patologi Hospital Melaka mendapati pesakit adalah positif COVID-19 dengan CT Value (nilai kitaran ambang) 22.69. Secara keseluruhan, Hospital Melaka telah mematuhi SOP Pengurusan Ibu Mengandung Dengan COVID-19," katanya.
--BERNAMA
#Hospital Melaka #diskriminasi #Jabatan Kesihatan Negeri #JKN #Dr Rusdi Abd Rahman #wad bersalin
;