Tiada demokrasi dalam organisasi jika pemimpin berkuasa mutlak - Penganalisis politik
Israr Khalid
November 1, 2022 05:22 MYT
November 1, 2022 05:22 MYT
KUALA LUMPUR: Sesebuah organisasi yang semata-mata menurut kata pemimpinnya dalam membuat keputusan tidak mungkin akan dapat mencapai objektif yang dimatlamatkan.
Menurut Prof Madya Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh, organisasi yang demokratik turut mengambil kira suara ahlinya dalam menentukan sebarang keputusan yang melibatkan maslahat bersama.
Kata penganalisis politik dari Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) ini, sesebuah parti politik tidak lagi wajar sekadar menurut perintah pemimpin ketika keperluan dan kehendak ahlinya, serta pengundi, sudah berubah.
“Malaysia sedang mengalami satu transformasi atau reformasi politik yang mana kalau dahulunya sama sahaja keputusannya, tetapi kini ia amat terbuka.
“Sama juga dengan parti-parti politik, terutamanya parti politik yang lama. Mereka masih belum atau separa sedar dengan apa yang dikehendaki oleh rakyat, apakah yang sebenarnya dikehendaki oleh ahli dan apa sebenarnya yang dikehendaki oleh beberapa pemimpin yang berkuasa,” katanya.
Sharifah Syahirah berkata, masih dilihat menjadi budaya di negara ini, pemimpin tertinggi yang berkuasa menentukan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Sedangkan, katanya, di negara-negara maju, kebanyakan parti politik mempunyai sistem pungutan suara yang mempertimbangkan cadangan dan permintaan ahli parti sebelum sesuatu perancangan diputuskan.
“Kalau tak ada pandangan-pandangan konsensus sedemikian, maka ia lebih kepada bentuk pemikiran yang berat sebelah oleh seseorang pemimpin,” tambahnya, ketika ditemu bual dalam program diskusi Malaysia Memilih pada Selasa.