Tiada cuti peristiwa di Terengganu esok - Ahmad Samsuri

Bernama
Disember 9, 2023 19:19 MYT
Ahmad Samsuri berkata, poster mengenai dakwaan cuti peristiwa yang tular tersebut adalah palsu dan ia merupakan poster lama yang telah disunting. - Gambar fail
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan Kerajaan Negeri Terengganu mengumumkan cuti peristiwa di negeri itu esok seperti tular di media sosial.
Beliau berkata poster mengenai dakwaan cuti peristiwa yang tular tersebut adalah palsu dan ia merupakan poster lama yang telah disunting.
"Berlegar-legar poster lama yang diedit (disunting) tentang cuti peristiwa pada esok, Ahad 10 Disember 2023.
"Untuk makluman, tiada cuti peristiwa diumumkan oleh kerajaan negeri," katanya dalam laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Hari ini tular di laman sosial sebuah poster yang mendakwa kononnya kerajaan negeri mengumumkan esok sebagai cuti peristiwa selepas Terengganu FC berjaya melangkah ke final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) semalam.
-- BERNAMA
#cuti peristiwa #terengganu #kerajaan negeri #Ahmad Samsuri Mokhtar
;