Tiada catuan air di Pulau Pinang bulan ini, namun tarif air dijangka naik
Aizat Sharif
April 2, 2014 19:46 MYT
April 2, 2014 19:46 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan melakukan catuan bekalan air pada bulan April ini tetapi sebaliknya akan melancarkan pelan kecemasan dalam usaha mengelakkan catuan air di masa akan datang sekiranya musim kering masih berterusan.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan medianya berkata pengurusan efisyen yang dijalankan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah membolehkan catuan air di negeri itu pada bulan Aprl ini berjaya dielakkan.
“Namun begitu, sekiranya April ini masih lagi menjadi musim kering bagi negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri dan PBAPP akan melaksanakan suatu pelan tindakan kecemasan dalam mengelakkan catuan air dari berlaku seperti menjana pengurusan efisien terhadap pengurusan bekalan air negeri dan menjalankan langkah-langkah pengurusan dalam permintaan terhadap air di negeri ini,” kata Lim.
Antara langkah yang dijalankan termasuklah meminta kerajaan pusat mengendalikan proses pembenihan awan untuk mewujudkan hujan di kawasan Tadahan Muda dalam usaha untuk menaikkan paras air di Sungai Muda.
“Kita juga akan memberitahu Jabatan Bekalan Air di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) supaya meminta Kedah melepaskan air ke Sungai Muda bagi memastikan ianya mencukupi sementara PBAPP terus membekalkan air ke negeri ini,”.
KeTTHA juga telah memberi jaminan bertulis bahawa sekiranya terdapat kekurangan terutama ketika tempoh pembinaan membesarkan Empangan Mengkuang, air akan dilepaskan dari Kedah ke dalam Sungai Muda bagi memastikan ianya mencukupi.
“Segala kos pelepasan air dari Kedah ke dalam Sungai Muda akan ditanggung oleh KeTTHA,”.
Sementara itu, paras air di Sungai Muda memainkan peranan utama dalam pengagihan lebih daripada 80 peratus air bersih terawat oleh PBAPP kepada penduduk Pulau Pinang.
Sehingga semalam, paras air di sungai tersebut mencatatakan paras 2.69 meter dimana ianya masih lagi melepasi paras berjaga-jaga iaitu 2 meter dan disebabkan itu, PBAPP juga telah menyalurkan air dari sungai tersebut bermula pada hari ini.
Selain itu, kapasiti air di tiga empangan utama di Pulau Pinang juga mencatatkan penurunan dari segi paras isipadu dan jangkaan hari untuk penyaluran air pada hari ini berbanding pada 28 Mac yang lalu.
Di Teluk Bahang, kapasiti air mencatatkan 76.5 peratus berbanding 77.5 peratus manakala ianya dijangka akan dapat bertahan untuk menyalurkan air untuk 233 hari sahaja lagi berbanding sebelumnya itu 236 hari.
Empangan Air Hitam kekal mencatatkan 65.2 peratus dan dijangka mampu menyalurkan air untuk 63 hari sahaja lagi berbanding 64 hari pada 28 Mac.
Empangan Mengkuang pula mencatatkan 38.4 peratus kurang 0.2 peratus pada 28 Mac lalu dan dijangka bertahan untuk 64 hari sahaja lagi.
Lim juga menggesa penduduk Pulau Pinang supaya menjimatkan air bermula dari sekarang kerana penggunaan air di Pulau Pinang adalah antara terbesar di Malaysia iaitu 295 liter per kapita sehari pada tahun lalu.
“Untuk dua bulan pertama tahun ini sahaja, angka tersebut bertambah kepada 5.4 peratus kepada 311 liter per kapita sehari dan ini menunjukkan bahawa penggunaannya adalah 46.7 peratus lebih dari penggunaan peringakat nasional iaitu 212 liter per kapita sehari,”.
Meskipun begitu langkah-langkah yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dan PBAPP dalam menjimatkan penggunaan air melalui pendidikan dan perlaksanaan penalti Surcaj Penjimatan Air terhadap pembaziran air dilihat tidak begitu berjaya.
“Oleh hal demikian dalam mesyuarat kami pagi ini, kami bersetuju untuk tidak mengadakan catuan bekalan air pada bulan ini tetapi sebaliknya melaksanakan akan kajian kenaikan kadar tarif air dalam penggunaan air yang berlebihan,”.