Tiada cadangan rombak silibus subjek Sejarah - Mahdzir
Astro Awani
September 20, 2016 16:57 MYT
September 20, 2016 16:57 MYT
Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk merombak mata pelajaran Sejarah susulan penemuan tinggalan tamadun Sungai Batu, di Sungai Petani, Kedah yang diiktiraf sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya kementerian sedia memberi pertimbangan untuk menjadikan Sejarah Tamadun Sungai Batu sebagai bahan pengajian elektif sebagai menghargai penemuan sejarah tersebut.
“Kita tidak berhasrat hendak menambah. Sebab yang ada sekarang pun sudah banyak. Apa yang kita boleh buat kalau itu boleh menjadi satu bahagian tulisan yang boleh disahkan kebenarannya. Kita boleh ambil sebagai elektif tambahan kepada apa yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaaan Agama (SMKA) Al-Irsyad 2016 di Pokok Sena, di sini hari ini.
Mahdzir yang juga ahli parlimen Padang Terap berkata demikan ketika diminta mengulas sama ada kementerian berhasrat menambah sukatan matapelajaran baru dalam buku teks sejarah di negara ini.
Ia susulan perisytiharan rasmi Kompleks Arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang sebagai tamadun terawal dan tertua di rantau Asia Tenggara oleh pakar arkeologi antarabangsa pada Mei lalu.
Perisytiharan itu sekaligus meletakkan sungai batu sebagai tamadun yang lebih awal berbanding candi Borobudur di Indonesia dan Angkor Wat di Kemboja.
Lembah Bujang disahkan oleh pakar berusia lebih 2,000 tahun, manakala candi Borobudur dibina pada abad ke-9 berusia sekitar 1,200 tahun dan Angkor Wat pada abad ke-12, berusia 900 tahun.