Tiada cadangan perkenal undang-undang wajib swasta bayar COLA

Bernama
Oktober 15, 2014 19:05 MYT
ISMAIL: Pekerja firma swasta telah mendapat pelbagai elaun antaranya elaun kedatangan, elaun makan, elaun pengangkutan, elaun syif dan elaun ibu tunggal.
Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan swasta membayar elaun sara hidup (COLA) kepada pekerja mereka, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib.
Beliau berkata perkara itu tertakluk kepada budi bicara majikan masing-masing memandangkan kerajaan tidak mempunyai kuasa dari segi perundangan untuk mewajibkan pembayaran elaun itu kepada pekerja swasta.
"Kementerian sentiasa menggalakkan perbincangan secara konstruktif antara majikan dan pekerja malah kita (kementerian) juga minta majikan beri perhatian kepada pekerja mereka memandangkan pekerja turut menyumbang kepada kejayaan majikan.
"Kita serahkan kepada majikan," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ismail berkata demikian semasa menjawab soalan Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) yang meminta kementerian menyatakan sama ada mempunyai cadangan untuk melaksanakan kaedah bayaran elaun COLA secara tetap kepada pekerja tempatan.
"Pekerja firma swasta telah mendapat pelbagai elaun antaranya elaun kedatangan, elaun makan, elaun pengangkutan, elaun syif dan elaun ibu tunggal," kata Ismail.
Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang menguatkuasakan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 mensyaratkan gaji minimum yang merupakan gaji asas ditetapkan RM900 sebulan di Semenanjung dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan rendah dengan Bajet setiap tahun sentiasa memberi fokus kepada golongan itu.
"Beberapa program telah dijalankan kerajaan bagi meningkatkan ekonomi mereka antaranya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), baucar buku bernilai RM250, bantuan persekolahan RM100 serta bantuan khas pekebun kecil," katanya.
#cola #Datuk Ismail Abd Muttalib #Normala Abdul Samad
;