Tiada cadangan mulakan proses penggulungan syarikat 1MDB

Bernama
Oktober 22, 2018 18:12 MYT
Menurut Kementerian Kewangan, usaha untuk membawa balik aset-aset 1MDB di luar negara masih giat dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa. - Gambar fail
Kerajaan tidak bercadang untuk memulakan proses penggulungan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memandangkan siasatan berkaitan penyelewengan dana syarikat tersebut masih berjalan.
Kementerian Kewangan, dalam satu jawapan bertulis kepada Datuk Takiyuddin Hasan (PAS-Kota Bahru) bertarikh 15 Okt yang ingin tahu mengenai perkara itu, berkata usaha untuk membawa balik aset-aset 1MDB di luar negara masih giat dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa.
Menjawab pertanyaan Takiyuddin mengenai senarai penuh pengerusi dan ahli lembaga pengarah syarikat 1MDB dan syarikat-syarikat subsidiarinya sekarang, Kementerian Kewangan berkata Lembaga Pengarah 1MDB kini dianggotai tiga orang iaitu Datuk Asri Hamidon selaku Pengerusi Lembaga Pengarah, manakala Datuk Kamal Mohd Ali dan Datuk Norazman Ayob selaku ahli lembaga pengarah.
Jawapan bertulis itu diperoleh media pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut jawapan bertulis itu, 1MDB mempunyai 22 syarikat subsidiari dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) telah bersetuju untuk menamatkan Ahli Lembaga Pengarah sedia ada dan digantikan dengan pegawai Kementerian Kewangan iaitu Asri, Datin Rashidah Mohd Sies dan Mohd Hisyamuddin Awang Abu Bakar.
Dua puluh dua syarikat subsidiari 1MDB itu merangkumi 13 di dalam negara, enam terletak di Labuan dan tiga buah lagi syarikat didaftarkan di British Virgin Islands.
Syarikat-syarikat yang terletak di dalam negara ialah 1MDB Energy Holdings Sdn Bhd, 1MDB Synergy Sdn Bhd; Ivory Merge Sdn Bhd; Merpati Energy (Langat) Sdn Bhd; Pelita Merpati Sdn Bhd; Plentitude Mentari Sdn Bhd; PM Global Energy Bhd, PM Power Sdn Bhd dan Powertek Investment Holdings Sdn Bhd, Sino-Malaysia Holdings Sdn Bhd, Tadmax Power Sdn Bhd, Tenaga Merpati (Jimah) Sdn Bhd dan Timeline Zone Sdn Bhd, 1MDB Energy.
Enam syarikat subsidiari yang terletak di Labuan ialah 1MDB Energy (Langat) Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB Energy Investments Ltd, 1MDB Energy Ltd, Infrastructure Capital Ltd dan Ivory Point Ltd.
Anak syarikat 1MDB yang terletak di British Virgin Islands ialah Brazen Sky Ltd, Global Diversified Investment Company Ltd dan Malaysia Investment Company Ltd. -- Bernama
#1MDB #Dewan Rakyat #Kementerian Kewangan
;