Tiada cadangan gubal akta khusus kawal selia penyedia platform media sosial - Fahmi
Pia Ernadya
Mac 14, 2024 14:52 MYT
Mac 14, 2024 14:52 MYT
CYBERJAYA: Kerajaan tiada cadangan untuk menggubal akta khusus bertujuan untuk mengawal selia penyedia platform media sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, tiada perancangan seumpamanya.
"Saya belum pernah dengar tentang akta regulasi platform ini dan waktu ini kementerian dan juga kerajaan belum ada cadangan untuk mewujudkan akta kawal selia untuk platform media sosial," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan E-Farmasi Penyelesaian Digital Pusat Penjagaan Kesihatan Generasi Baharu oleh Unifi Business di TM Digital Academy, Universiti Multimedia, Cyberjaya pada Khamis.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilaporkan akan menyediakan satu kerangka bagi membolehkan semua penyedia platform media sosial berdaftar dengan agensi itu serta memudahkan pengawalseliaan platform berkenaan di negara ini.
Menurut Fahmi, MCMC masih memerlukan sedikit masa untuk melengkapkan kerangka berkenaan termasuk mengumpulkan beberapa perkara daripada pengalaman luar dan perbincangan suruhanjaya itu dengan penyedia platform media sosial sebelum ini.