Tiada bukti saintifik petua viral mampu elak influenza- Lee Boon Chye
Aida Aziz
Januari 18, 2020 12:51 MYT
Januari 18, 2020 12:51 MYT
Tiada bukti saintifik yang menyatakan beberapa petua yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sebelum ini mampu mengelakkan jangkitan virus influenza jika diamalkan.
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, langkah wajar yang sepatutnya diamalkan ialah menjaga kebersihan diri serta mengambil pemakanan seimbang.
Bagaimanapun, katanya, tidak salah untuk mengamalkan petua yang tular seperti meletakkan hirisan bawang merah atau menggunakan semburan pembunuh kuman, asalkan tidak berlebih-lebihan dan mencetuskan panik.
"Kalau nak elak influenza, mesti pentingkan kebersihan dengan selalu basuh tangan dan mereka yang ada gejala elakkan merebak kepada orang lain dengan memakai topeng, atau elak kawasan awam.
"Jaga kesihatan dengan rehat secukupnya, minum air yang cukup dan pastikan tidur yang cukup.
"Kita tiada bukti saintifik yang menunjukkan yang itu (petua tular) banyak membantu walaupun kita tak halang ia diamalkan sebab ia tidak akan jejaskan kesihatan," katanya ketika ditemui di majlis pecah tanah Pusat Komersil Botani Village di sini hari ini.
Dr Lee berkata demikian sebagai mengulas petua tular untuk mengelakkan wabak influenza yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Petua itu turut menyebabkan orang ramai membeli semburan pembunuh kuman dalam kuantiti yang banyak sehingga habis bekalan stok di farmasi sekitar Ipoh.
Perkara itu turut diakui oleh ahli farmasi yang kerap kali berdepan dengan pelanggan yang mencari semburan pembunuh kuman itu sebagaimana yang dikongsi menerusi aplikasi Whatsapp dan Facebook.
#aplikasi
#bawang merah
#Influenza
#Ipoh
#jangkitan
#kebersihan
#kesihatan
#Lee Boon Chye
#media sosial
#pembunuh kuman
#petua
#Tular
#virus
#WhatsApp