Tiada bukti pegawai, anggota IPD Sungai Buloh terima rasuah - Ketua Polis Negara
Fareez Azman
September 9, 2020 15:18 MYT
September 9, 2020 15:18 MYT
Tiada sebarang laporan membuktikan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh terlibat dalam salah laku rasuah.
Demikian tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador selepas laporan akhir diterima Jabatan Intergriti Pematuhan Standard (JIPS) minggu lalu.
Ujarnya, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sedang mengenal pasti beberapa fakta tidak tepat mengenai dakwaan kegiatan perjudian dan penjualan rokok putih yang ditularkan pada Ogos lalu.
“Ya saya telah menerima laporan itu daripada pengarah JIPS Bukit Aman dan telah menelitinya… saya mendapati beberapa perkara yang dibangkitkan dalam video tular itu kurang tepat.
“Penguatkuasaan kegiatan judi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dilakukan dengan giatnya, namun ada beberapa kelemahan dikenal pasti dalam kalangan pegawai dan anggota bawahan namun ia bukan kelemahan besar," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Hamid mengakui terdapat kelemahan dari segi tindakan susulan yang didapati kurang mantap dalam mencegah judi haram.
Untuk rekod, sebanyak 400 premis judi haram jelasnya telah diserbu dan diambil tindakan. Bagi tahun ini pula, sebanyak 120 premis lagi diambil tindakan.
“Tetapi ia akan dapat ditangani nanti secara berkesan tanpa masalah, lagipun ia bukan isu besar satu IPD berkenaan ‘korup’.. tidak..,” jelasnya ketika ditemui dalam sidang media di Cheras pada Rabu.
Dalam pada itu, tambah Abdul Hamid, laporan JIPS mendapati Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar telah menjalankan peranannya dengan baik.
Siasatan mendapati, tiada anggota dan pegawai dari IPD terbabit yang memiliki kekayaan luar biasa atau hidup mewah atau diberikan ganjaran dan rasuah.
“Saya juga ambil kira beberapa kesulitan warga PDRM di Sungai Buloh antaranya bangunan pejabat di situ bertaraf balai dan kerja dalam serba kekurangan terutama membabitkan tempat kediaman.
“Hanya 11 pegawai dapat menduduki kuarters kediaman di kawasan berkenaan manakala yang lain 'bertabur' di merata-rata tempat.
“Saya sangat memahami kekangan yang dihadapi anak buah saya dan akan jalankan siasatan seadilnya," kata beliau.
Tambah Abdul hamid, meskipun menerima cacian serta makian diterima anggotanya menerusi media sosial sejak tularnya video berkenaan.
Namun ia tidak meruntuhkan semangat mereka untuk terus berkhidmat dan memperbaiki mutu tugas.
#Bukit Aman
#bukti
#Cheras
#Ganjaran
#IPD Sungai Buloh
#Ketua Polis Daerah
#Ketua Polis Negara
#PDRM
#Polis Diraja Malaysia
#Premis judi
#Rasuah
#Sisatan
#Tular