Tiada bukti Omicron mampu bina imuniti - Khairy

Umavathi Ramayah
Januari 16, 2022 16:00 MYT
Khairy Jamaluddin menasihati orang ramai untuk terus mendapatkan dos penggalak. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Setakat ini, tidak ada mana-mana pendekatan kesihatan awam di dunia yang menyatakan individu dijangkiti varian Omicron COVID-19 mampu membina imuniti daripada wabak itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pendekatan itu belum dibuktikan kesahihannya menerusi mana-mana kajian saintifik.
"Tidak kira varian apa. Omicron ke, Delta, Alpha dan Beta, jangan sengaja nak dapat COVID-19 sebab yang pertama kita tidak tahu kesan wabak itu kepada mereka yang mendapat (COVID-19) sama ada mereka divaksinasi atau tidak.
"Yang kedua kita tidak tahu long COVID-19. Hari ini mungkin kita kata Omicron ini lebih mild berbanding Delta, jadi kenapa kita semua dijangkiti dengan Omicron supaya kita dapat imuniti kelompok dan sebagainya.
"Itu tidak terbukti lagi. Kita tahu Omicron milder tetapi ia tidak bermakna yang anda perlu dijangkitinya," katanya pada sidang media ketika diminta mengulas berhubung laporan berita antarabangsa yang menyatakan varian Omicron itu mampu membina imuniti kelompok dalam masyarakat disebabkan keadaan transmisinya yang tinggi.
Terdahulu beliau merasmikan Inisiatif Mengakhiri AIDS melalui kerjasama Pintar GO-NGO Model KK 2.0 peringkat kebangsaan di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Khairy menasihati orang ramai untuk terus mendapatkan dos penggalak.
Dalam pada itu, katanya, KKM menjangkakan akan berlaku peningkatan kes pada bulan ini dan Februari depan susulan beberapa sambutan terbesar termasuk Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah yang panjang.
#COVID-19 #Khairy Jamaluddin #imuniti kelompok #Omicron
;