Tiada bukti minyak masak sawit di pasaran mengandungi minyak terpakai - Kementerian

Bernama
November 12, 2013 22:17 MYT
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Selasa menegaskan tiada bukti menunjukkan minyak masak sawit di dalam bungkusan yang dijual di pasaran mengandungi minyak terpakai yang dikitar semula.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di sini, berkata penemuan tersebut hasil analisis saintifik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ke atas 421 sampel bungkusan minyak sawit dari seluruh negara sepanjang 2012 dan dari Januari hingga Ogos tahun ini.
Kenyataan itu menyebut MPOB sebagai badan yang bertanggungjawab memastikan minyak masak sawit dibungkus dan dijual di pasaran adalah berkualiti dan menepati piawaian, sentiasa melakukan pemantauan melalui pengambilan sampel.
Pada 31 Oktober lepas, beberapa akhbar tempatan menyiarkan artikel bertajuk 'Minyak Masak Kitar Semula' yang merujuk kepada kenyataan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa hampir 90 peratus minyak masak di pasaran dipercayai hasil kegiatan kitar semula minyak masak.
"MPOB mengambil berat isu yang dibangkitkan ini dan akan terus memantau agar tidak berlaku pencemaran ke atas minyak sawit dalam bungkusan yang dijual," kata kenyataan itu.
Menurut Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, tindakan undang-undang boleh diambil ke atas mana-mana pihak yang menjual bungkusan minyak sawit yang dicemari minyak terpakai atau bahan bendasing yang lain.
Kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
#Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi #minyak masak #Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
;