Tiada bukti Hannah mahu jadikan Malaysia negara Kristian - Musa Hassan
Sinar Harian
Julai 5, 2024 18:24 MYT
Julai 5, 2024 18:24 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, bahawa tiada bukti dokumen menunjukkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Musa, 73, berkata demikian selepas bersetuju dengan cadangan peguam, Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Hannah, bahawa tiada bukti berkenaan ketika beliau berkhidmat sebagai KPN.
Razlan: Hannah terlibat dalam kegiatan untuk mengkristian orang Islam, ya atau tidak?
Musa: Saya tidak nampak dokumen itu tetapi ada laporan (kegiatan untuk memurtadkan) oleh orang-orang tertentu.
Razlan: Jadi, dokumen tersebut, ada atau tidak?
Musa: Tiada.
Razlan: Sebelum ini, Tan Sri bercakap mengenai komunisme dan ancamannya, kemudian menyebut mengenai hasrat beberapa golongan mahu menjadikan negara ini sebagai sebuah republik serta mengaitkannya dengan Yahudi.
Musa: Betul.
Razlan: Kemudian Tan Sri kata, golongan itu dan Hannah juga menulis buku, untuk menjadikan negara ini sebagai negara Kristian, maka ini kali pertama Tan Sri timbulkan nama anak guam saya.
Musa: Ya.
Peguam ini kemudiannya mempersoalkan, tindakan Musa mengaitkan Hannah, dengan parti politik, DAP.
Musa menafikannya dan berkata, perkara itu adalah berdasarkan video-video yang dikeluarkan ‘evangelisme’ dan parti DAP juga terlibat sama dalam penyiaran tersebut.
Sementara itu, ketika membaca pernyataan saksi, Musa membangkitkan bahayanya indoktrinasi komunisme kepada kedaulatan negara melalui Gerakan Kristianisasi dan Gerakan Evangelisme yang didalangi oleh parti politik dan individu berpengaruh di Malaysia.
“Ketika merujuk kepada buku ‘Becoming Hannah’ saya turut bergantung kepada pendedahan akademik yang dibuat oleh Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff iaitu Pengarah Institut Kajian Politik yang membuat kajian akademik khusus berkaitan buku berkenaan," katanya.
Musa selaku defendan berkata, semua maklumat itu diperoleh ketika beliau menjawat jawatan Ketua Polis Negara.
Menurutnya, pergerakan ‘evangalisme’ Hannah selaku plaintif, mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara.
“Definisi ‘evangelist’ diambil dari kamus ‘Cambridge English’ yang memberikan tafsiran ia sebagai ‘a person who tries to persuade people to become Christians, often by traveling around and organising religious meetings’
“Walaupun buku yang ditulis oleh plaintif telah diluluskan kerajaan untuk dijual kepada umum, ia tidak bermakna maklumat berkenaan tidak akan menimbulkan kegelisahan kepada penduduk majoriti Melayu,” katanya.
Beliau berkata, merujuk kepada tangkap layar paparan hantaran Facebook plaintif bertarikh 3 Jun 2016, jelas menunjukkan Hannah sendiri mengakui bahawa beliau merupakan seorang ‘evangelist’.
Katanya, meskipun plaintif menganggap hantaran tersebut sebagai suatu gurauan namun, tidak dapat menafikan bahawa pendapat awam yang membaca hantaran itu, menganggap Hannah sebagai seorang ‘evangelist’.
Dalam prosiding ini, peguam, Datuk, S Ambiga turut hadir bagi pihak Hannah manakala peguam, Mohd Khairul Azam Abd Aziz dan Datuk Shaharuddin Ali mewakili Musa.
Pada 3 Mei 2021 lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman Hannah terhadap Musa, selepas mendapati plaintif gagal mematuhi arahan mahkamah berkaitan pemfailan beberapa dokumen praperbicaraan.
Bagaimanapun, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut itu bebas untuk memfailkan semula saman.
Plaintif kemudiannya memfailkan semula saman pada hari yang sama, 3 Mei.
Saman itu adalah berhubung kenyataan Musa yang didakwa berbaur fitnah, semasa berucap dalam satu forum di UiTM, pada 30 Januari 2020 lalu.
Musa kemudiannya memohon untuk membatalkan saman itu menerusi Tetuan Azam Aziz & Co pada 31 Mei tahun sama, antaranya atas alasan tindakan plaintif memfailkan tuntutan saman itu adalah suatu yang memalukan, serta penyalahgunaan proses mahkamah.
Prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi bersambung 25 Julai ini. - Sinar Harian