Tiada bom di Puchong Permai - Polis
Bernama
Julai 1, 2016 17:15 MYT
Julai 1, 2016 17:15 MYT
Pihak polis menafikan dakwaan kononnya terdapat sebutir bom tertanam di sebuah bulatan di Puchong Permai dekat sini sepertimana yang disebar di media sosial hari ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan dan mengesahkan tidak terdapat bom seperti yang didakwa.
"Ianya merupakan berita palsu yang dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada Bernama.
Gambar dan cerita itu mula menjadi viral di media sosial kira-kira 1 tengah hari tadi.