Tiada bicara niaga, hanya makan tengah hari bersama Jho Low di hotel 5 bintang - Saksi
Bernama
Oktober 12, 2022 19:34 MYT
Oktober 12, 2022 19:34 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menghadiri perjumpaan makan tengah hari di sebuah hotel lima bintang bersama beberapa pegawai bank dan wakil Terengganu Investment Authority (TIA), 13 tahun lepas.
Bekas Pengarah Urusan AmInvestment Bank Berhad Kok Tuck Cheong, 67, berkata beliau diperkenalkan kepada Jho Low oleh Pengarah Perhubungan Perbankan AmBank Chan Wan Seong semasa perjumpaan makan tengah hari itu yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental di sini pada 2009.
"Terdapat kira-kira lima atau tujuh individu. Tiada pengenalan secara rasmi," katanya sambil menambah Jho Low tidak banyak bercakap.
Saksi pendakwaan ke-40 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram bekas perdana menteri itu membabitkan RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Muhammad Shafee bertanya sama ada hanya pegawai bank yang hadir, Kok berkata beberapa wakil TIA turut hadir. TIA kemudian dinamakan semula sebagai 1MDB.
Ketika ditanya sama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi turut berada di situ, saksi berkata beliau tidak ingat.
Muhammad Shafee: Makan tengah hari ini adakah ada kaitan dengan pengeluaran Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) (bagi TIA)?
Kok: Tidak ada perbincangan perniagaan yang serius...ia hanya makan tengah hari santai.
Saksi itu juga berkata beliau tidak ingat siapakah yang membayar bil untuk makan tengah hari itu.
"Boleh jadi bank atau pihak lain (TIA), tetapi tentunya bukan saya," kata Kok.
Kepada soalan lain sama ada beliau tahu Jho Low pernah dianggap sebagai penasihat TIA, saksi itu berkata namanya pernah dibangkitkan tetapi ia bukan kenyataan fakta yang konkrit.
Muhammad Shafee: Secara rasmi dia berada dalam lembaga sebagai penasihat TIA?
Kok: Bukan ketika saya bertemu dengannya.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
-- BERNAMA