Tiada arahan untuk dakwa pegawai kanan 1MDB - Rajagopal
Bernama
Mac 12, 2025 18:08 MYT
Mac 12, 2025 18:08 MYT
Najib berdepan 25 pertuduhan termasuk empat membabitkan menyalahgunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bekas Pegawai Penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) R Rajagopal memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menerima arahan untuk mendakwa beberapa pegawai kanan syarikat pelaburan negara itu.
Ringkasan AI
- Bekas Pegawai Penyiasat 1MDB, R Rajagopal, memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa beliau tidak menerima arahan untuk mendakwa beberapa pegawai kanan 1MDB.
- Rajagopal menyatakan siasatan masih berjalan dan pihak polis menantikan dokumen dari luar negara untuk meneruskan siasatan.
- Najib Razak diperintahkan membela diri atas 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu berkata beliau tidak menerima arahan untuk mendakwa dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas Ketua Pegawai Kewangan Azmi Tahir dan Radhi Mohamad serta bekas peguam syarikat itu Jasmine Loo Ai Swan.
Saksi pembelaan ke-11 itu berkata demikian ketika disoal oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas Perdana Menteri tersebut dalam kes penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.
Rajagopal, yang menyiasat laporan polis pada Disember 2014 berhubung dakwaan berlaku pecah amanah jenayah membabitkan dana 1MDB dan bersara pada April 2023, berkata beliau tidak mencadangkan kepada Pendakwa Raya agar pertuduhan dikenakan ke atas para pegawai syarikat itu.
"Yang Arif, siasatan berhubung kes 1MDB ketika itu masih berjalan. Pihak polis masih menantikan dokumen tertentu dari luar negara untuk meneruskan siasatan.
"Bagaimanapun, bagi individu yang tidak dapat dikesan, pertuduhan dikemukakan untuk mendapatkan waran tangkap yang membolehkan kami memohon notis merah daripada Interpol," katanya.
Antara yang didakwa tanpa kehadiran ialah ahli perniagaan dalam buruan iaitu Low Taek Jho, Tan Kim Loong, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat membabitkan menyalahgunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung esok.
-- BERNAMA