Tiada arahan sekat penceramah agama keluar tv, radio - Mujahid

Astro Awani
Disember 14, 2018 17:39 MYT
Mujahid menegaskan perkara itu tidak patut ditularkan tanpa asas, semata-mata untuk menimbulkan keraguan dan provokasi terhadap PH. - Gambar fail
Jabatan Perdana Menteri (JPM) menafikan pernah mengeluarkan arahan menyekat atau melarang beberapa penceramah agama untuk keluar di televisyen dan radio seperti yang tular dalam media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof bagaimanapun menasihatkan penceramah agama agar mengikut tiga teras yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekiranya ingin ke udara.
“Penceramah dan pengkuliah yang mahu muncul di TV di dalam program kita mestilah memahami tiga teras yang kita perjuangkan iaitu Rahmatan Lil Alamin, maqasid syariah dan modul Malaysia.
“Dalam apa juga yang mereka sampaikan, selagi tidak bercanggah dengan tiga perkara ini, maka kita mengalu-alukan.
"Kita bukan nak sekat sesiapa hanya kerana kita tidak suka dia, tetapi lebih kepada kita hendak lihat content (isi),” katanya kepada pemberita pada Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini hari ini.
Terdahulu, tular di aplikasi Whatsapp dan Facebook berhubung beberapa nama penceramah agama yang dikatakan tidak digalakkan ke udara mulai Januari 2019.
Senarai 10 penceramah dan pendakwah itu termasuk Ustaz Kazim Elias, Ustaz Ahmad Dusuki, Shamsul Debat, Ustaz Azhar Idrus, Pencetus Ummah Syed dan Ustazah Norhafizah Musa.
Sementara itu, Mujahid turut menegaskan perkara itu tidak patut ditularkan tanpa asas, semata-mata untuk menimbulkan keraguan dan provokasi terhadap PH.
“Seperti saya katakan, selagi tidak menggangu tiga teras itu, kita (JPM) tidak pernah mengeluarkan arahan. Walaupun sekarang ini kita rasa ada sesetengah ustaz yang tidak memberi pandangan yang baik, tapi kita tidak pernah menyekat,” katanya.
#Facebook #kerajaan #media sosial #Pakatan Harapan #penceramah #radio #sekat #televisyen #Tular #ustaz #WhatsApp
;