Tiada apa yang melucukan mengenai lawak rogol - Ema Syuhaili
Astro Awani
April 26, 2021 20:00 MYT
April 26, 2021 20:00 MYT
KUALA LUMPUR: Rogol merupakan perbuatan yang melanggar undang-undang, sangat serius dan tidak boleh digunakan untuk bergurau dalam apa jua konteks.
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukor menjelaskan, tiada sebarang alasan yang membolehkan perbuatan jijik itu dijadikan bahan gurauan, sama ada jantina mangsa wanita mahupun lelaki.
"Saya mengikuti dengan dekat kes yang tular berkaitan video TikTok yang dikongsi seorang pelajar sekolah berumur 16 tahun berkenaan dakwaan gurauan berunsur lucah yang dilakukan oleh gurunya sewaktu mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
"Pelajar berkenaan juga mendakwa guru terbabit mengeluarkan kenyataan yang tidak bersesuaian berkaitan perbuatan rogol. Sehingga kini, masih belum terdapat kenyataan dari pihak guru ataupun sekolah yang terlibat. Saya merasa sedih atas apa yang berlaku terutamanya terhadap seorang wanita muda yang masih lagi dikategorikan sebagai individu di bawah umur.
"Terbaru, terdapat pula dakwaan pelajar ini menerima ugutan rogol dari rakan sekelas sendiri susulan kejadian tersebut. Saya tidak dapat menerima bagaimana sesorang individu boleh mengeluarkan ancaman yang sebegitu kejam terhadap individu yang lain apatah lagi seorang rakan sekelas," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Bukit Aman mengesahkan menerima dua laporan daripada seorang pelajar sekolah berumur 16 tahun berkaitan dakwaan seorang guru bergurau seolah-olah menggalakkan perbuatan rogol, baru-baru ini.
Jelasnya, laporan tersebut diterima pada Sabtu dan Ahad.
Dalam pada itu tegas Ema Syuhaili, mungkin bukan niat guru terbabit untuk mengatakan perbuatan tersebut tidak salah tetapi cara penyampaian kurang sesuai boleh memberikan maksud tersebut.
"Anak-anak gadis dan wanita perlulah dilindungi dari perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini. Apatah lagi perbuatan mengugut seseorang menggunakan ancaman perbuatan keji ini.
"Berdasarkan kajian terkini, perbuatan rogol merupakan tindakan yang dilakukan sebagai menifestasi seorang pelaku untuk menghukum, membalas dendam, menyebabkan kesakitan dan mengawal mangsa menggunakan ketakutan.
"Ianya satu tindakan melibatkan dinamika kuasa antara pelaku dan mangsa. Ianya akan memberikan kesan dan reaksi psikologi yang jauh berpanjangan daripada kesan fizikal yang mampu dilihat dengan mata kasar," ujarnya.
Katanya, akibat daripada trauma psikologi kesan perbuatan ini, ramai ahli psikologi berpendapat bahawa perbuatan rogol merupakan satu bentuk penyeksaan dengan kesan kekal sepanjang hidup tanpa mengira jantina mangsa.
Jumaat lalu, seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Kuala Selangor mendakwa, seorang guru lelaki membuat jenaka mengenai rogol ketika dalam kelas.
Menurut pelajar berkenaan, guru terbabit bercakap mengenai jenayah rogol ketika membincangkan tentang gangguan seksual semasa kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolahnya.
Pelajar berkenaan mendedahkan perkara itu menerusi satu klip video di platform media sosial TikTok, yang kemudiannya diciap di Twitter dan menjadi tular.