Tiada apa yang Islamik tentang serangan keganasan - PM Najib

T K Letchumy Tamboo
September 2, 2016 16:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) Ke 9 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggariskan tiga isu utama yang perlu diberikan penekanan untuk memastikan ekonomi dan keadaan politik kekal selamat dan kukuh di rantau Asia.
Datuk Seri Najib berkata tiga isu berkenaan adalah isu kemiskinan, keganasan dan keselamatan serta kemusnahan alam sekitar.
Dalam ucapannya semasa melancarkan Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Najib berkata isu keganasan dan keselamatan terutamanya, adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius di rantau Asia.
"Di Malaysia, kita baru-baru ini mengalami serangan keganasan yang pertama yang dikaitkan dengan Daish, kumpulan yang melakukan keganasan atas nama agama.
"Jangan ada sebarang kekeliruan tentang perkara ini, tidak ada apa-apa yang Islamik tentang keganasan dan kemusnahan yang mereka lakukan. Tidak ada apa-apa yang Islamik dalam tindakan menggunakan kanak-kanak semuda enam tahun untuk menembak tawanan, atau menggunakan mereka yang beberapa tahun lebih tua untuk melakukan tindakan berani mati," katanya.
Beliau juga mengingatkan satu mesej yang tegas dan jelas perlu disampaikan kepada pihak-pihak yang merancang untuk melakukan keganasan.
"Kita, terutama semua parti-parti politik di negara-negara Islam perlu memastikan bahawa kita menghantar satu mesej yang tegas dan jelas. Pada masa yang sama, kerajaan di seluruh dunia menyedari bahawa kaedah lama tidak memadai untuk membanteras keganasan.
"Sebab itu, kami (Malaysia) telah mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan kami untuk menentang keganasan dengan undang-undang baharu, termasuk Akta Pencegahan Keganasan, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) dan Akta Majlis Keselamatan Negara," katanya lagi.
Tambahnya, Malaysia juga tidak akan apologetik semata-mata mengutamakan keselamatan rakyat Malaysia.
Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia (ICAPP) kali ke-4 yang bertemakan 'Satu Asia: Ke Arah Kerjasama Prolifik. Peranan Parti-Parti Politik Asia' bermula sejak Rabu dan berlangsung sehingga esok.
Kira-kira 72 parti politik dari 36 negara Asia mengambil bahagian dalam persidangan itu yang diadakan dua tahun sekali.
#ICAPP #keganasan #Najib Razak #Perdana Menteri #Persidangan Antarabangsa Parti-Parti Politik Asia
;