"Tiada apa saya perlu sembunyikan, sedia jawab di mahkamah" - Tun M hairan dakwaan Halim Saad

Astro Awani
Ogos 11, 2023 07:00 MYT
Dr Mahathir (kanan) sedia menjawab tuduhan Halim Saad mengenai kerugian dialami tokoh korporat ternama itu selepas pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad oleh kerajaan, hampir 23 tahun lalu di mahkamah.
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sedia menjawab tuduhan Tan Sri Halim Saad mengenai kerugian dialami tokoh korporat ternama itu selepas pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan, hampir 23 tahun lalu di mahkamah.
Tegas bekas Perdana Menteri itu, tiada apa yang perlu disembunyikan beliau mengenai dakwaan berkenaan.
Menurut Dr Mahathir, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan Malaysia turut dinamakan sebaga defendan dalam notis tersebut.
“Saya telah terima satu notis tadi. Peguam memaklumkan Halim telah saman saya, Nor Mohamed dan kerajaan Malaysia kononnya kerana saya telah arah beliau lepaskan UEM dan Renong tanpa apa-apa keuntungan kepadanya.
“Halim juga dakwa dia tidak setuju dengan arahan itu tapi saya salah guna kuasa pada tahun 2001 untuk paksa dia lepaskan juga. Beliau tuntut bahawa UEM dan Renong miliknya dan hak Perlembagaan telah ketepikan,” kata Dr Mahathir dalam kenyataan yang dikongsi di akaun media sosial beliau pada Jumaat.

KENYATAAN MEDIA 1. Saya telah terima satu notis tadi. Peguam saya maklum Tan Sri Halim Saad telah saman saya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia kononnya kerana saya telah arah dia lepaskan UEM dan Renong tanpa apa-apa keuntungan kepada dia. 2. Halim Saad juga pic.twitter.com/Df8tJQcKTO

— Dr Mahathir Mohamad (@chedetofficial) August 11, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, media melaporkan Halim mengemukakan saman terhadap Dr Mahathir yang difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, melalui Tetuan Malik Imtiaz Sarwar.
Menurut pernyataan tuntutannya, Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong itu mendakwa, beliau diarah oleh Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus saham Renong daripada UEM.
Halim turut mendakwa, beliau dikehendaki menyokong inisiatif kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih UEM secara tawaran am.
Dalam perkembangan sama, Dr Mahathir menimbulkan persoalan kerana Halim pada 2013 memfailkan saman terhadap kerajaan, Khazanah dan Nor Mohamed kerana mendakwa ditipu tetapi ditolak dan rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 2015 turut diketepikan.
“Saya juga hairan dengan dakwaan Halim ini. Kenapa selama ini beliau tidak ambil tindakan terhadap saya dan tiba-tiba dekat pilihan raya kemukakan saman.
“Adakah akan berulang lagi sejarah baling batu sembunyi tangan?” soal beliau.
#Mahathir Mohamad #Halim Saad #Halim Saad saman Dr Mahathir #saham Renong
;