Tiada anggota polis Kelantan terbabit geng Ayahanda Harimau Kumbang
Adam Darwish
Januari 25, 2023 17:14 MYT
Januari 25, 2023 17:14 MYT
PASIR MAS: Tiada pegawai dan anggota polis Kelantan yang terbabit dengan pertubuhan haram dikenali Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) seperti yang dikesan oleh polis Terengganu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata ia hasil siasatan dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah serta Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mengenainya.
"Pihak kita sentiasa berhubung dengan polis Terengganu dan setakat ini tiada apa-apa perkara yang boleh dikaitkan.
"Namun, sekiranya wujud perlakuan seperti itu maka tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang terlibat seperti yang dilakukan oleh polis Terengganu," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.
Muhamad Zaki mengulas mengenai 14 anggota dan pegawai kanan di dua IPD dan IPK Terengganu yang ditahan dalam Op Selendang selepas disyaki terlibat menganggotai AHK.
Terdahulu Muhamad Zaki menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir kepada pemangkunya Supt Nik Aminuddin Raja Abdullah.
Mohd Nasaruddin akan bertugas sebagai Pegawai Pengiring kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.