Tiada anggota cedera; polis, tentera buru pengganas
Astro Awani
Mac 5, 2013 18:09 MYT
Mac 5, 2013 18:09 MYT
Pasukan keselamatan Malaysia menjalan operasi pembersihan bagi mengesan saki-baki penceroboh Sulu di Kampung Tanduo, dekat Lahad Datu.
Operasi itu bertumpu di sekitar kawasan berkeluasan lebih kurang 4 kilometer persegi.
Ia termasuk operasi pemeriksaan dari rumah ke rumah melibatkan komando VAT 69 dan tentera.
Dalam sidang media di Lahad Datu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memaklumkan pasukan keselamatan negara menghadapi tentangan daripada kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai pengganas.
Sidang media itu diadakan pada pukul 11 pagi, kira-kira empat jam selepas operasi gempur itu bermula.
Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan lebih kurang 3 jam kemudian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada anggota pasukan keselamatan yang cedera dalam operasi gempur itu.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sebarang maklumat mengenai korban atau kecederaan yang dialami oleh kumpulan pengganas itu.
"Kita masih tunggu kerana operasi masih lagi berjalan," katanya.
Pada sidang media sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan maklumat berkenaan hasil operasi akan diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dari masa ke masa.