Tiada ancaman, notis amaran Pabuk ditamatkan - MetMalaysia

Nailah Huda
Januari 5, 2019 12:11 MYT
Ribut tropika Pabuk semakin menjauhi perairan negara. -VENTUSKY
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu mengumumkan penamatan amaran ribut tropika Pabuk yang dikesan semakin jauh dari perairan negara.
Pengumuman itu dibuat selepas kedudukan ribut itu berada pada jarak 345km dari Langkawi dan 362km dari Arau, Perlis sekali gus tidak memberi sebarang ancaman kepada negara.
"Keadaan cuaca di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga dijangka bertambah baik dan kembali normal dalam tempoh tujuh hari ke depan.
"Dengan ini kita menamatkan segera amaran cuaca mengenai ribut ini yang dikeluarkan sejak 28 Disember lalu," kata Ketua Pengarah METMalaysia, Alui Bahari dalam kenyataan itu.
Ribut itu kini berada pada kedudukan 8.9 darjah utara 98.2 darjah timur dan dijangka bergerak 15 km sejam ke arah barat laut menuju Teluk Benggala.
Pada Jumaat, ribut itu berada kira-kira 55 kilometer ke barat daya Surat Thani, Thailand.
Lapangan terbang antarabangsa Surat Thani ditutup serta perkhidmatan feri ke dan dari Koh Samui, Thailand dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga.
#Arau #banjir #Langkawi #ombak #pabuk #Pantai #Phuket #ribut #ribut tropika pabuk #taufan #Thailand
;