Tiada amalan kabel, mesti lulus UKKM untuk ke MRSM - Asyraf Wajdi
Sinar Harian
Januari 2, 2024 06:45 MYT
Januari 2, 2024 06:45 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) iaitu perlu lulus Ujian Kemasukan Ke MRSM (UKKM) sebelum dipertimbangkan ke insititusi pendidikan tersebut.
Justeru Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang rayuan atau 'amalan kabel' untuk menempatkan pelajar yang gagal ujian berkenaan bagi menjamin kualiti produk MRSM.
"Saya ada menteri yang mengawal selia (MRSM) iaitu Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
"Beliau selalu berpesan kepada saya agar sentiasa berpegang kepada prinsip, jangan menurunkan kualiti MRSM dan patuh kepada dasar asas iaitu mesti lulus UKKM.
"Kalau nak bantu sekali pun, bantulah mereka yang berpendapatan rendah (B40).
"Bagi mereka yang merayu, itu proses biasa kerana akan ada 10 hingga 15 peratus yang ditawarkan (kemasukan) akan menolak atas beberapa faktor," katanya dalam Wacana Sinar edisi 426 bertajuk 'MRSM untuk B40 sahaja?' yang disiarkan secara langsung menerusi platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut diundang sebagai panelis ialah Presiden Persatuan Bekas Pelajar MRSM (Ansara), Mohd Fadzli Yusof dan bekas guru MRSM, Nur Aziera Mohd Ramli manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu Asyraf Wajdi menjelaskan, MRSM tidak pernah mewujudkan polisi hanya pelajar miskin dibenarkan mendapat pendidikan di sekolah tersebut, sebaliknya keutamaan diberikan kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, polisi Mara menetapkan kuota 60 peratus pelajar MRSM adalah dari golongan B40 dan selebihnya mereka yang lulus UKKM dalam kalangan berpendapatan sederhana (M40) dan tinggi (T20).
"Maka kuota 10 hingga 15 peratus yang menolak (tawaran) itu dibuka untuk rayuan.
"Dari situ datangnya surat, e-mel yang memohon dan pertimbangan diambil, (namun) keutamaan tetap diberikan kepada mereka yang layak dan berpendapatan rendah.
"Tetapi tidak menafikan, kalau mereka yang cemerlang dalam kalangan T20 sekali pun, kita masih terima (masuk MRSM) sebab dasar MRSM terbuka.
"Bagi saya, kita jangan mendiskriminasikan anak-anak kerana landskap dan demografi masyarakat sudah berubah, yang penting mereka perlu diajar untuk berada dalam suasana realiti," ujarnya. - Sinar Harian