Tiada alasan untuk tangguhkan Projek Jambatan Rambungan - Uggah
Rudi Affendi Khalik
Disember 6, 2022 18:15 MYT
Disember 6, 2022 18:15 MYT
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa pihak kontraktor yang membina
Jambatan Batang Rambungan untuk selesaikan segera masalah aliran tunai dan isu kekurangan pekerja,
Ia berikutan jambatan dengan kos RM98.5 juta itu kini mengalami kelewatan hampir tiga tahun.
"Sila selesaikan secepat mungkin.
Pihak kontraktor akan dikenakan hukuman berat jika gagal mematuhi jadual akhir siap," katanya ketika mengadakan lawatan tapak kepada projek tersebut pada Selasa.
Turut hadir Setiausaha Tetap kementeriannya Chiew Chee Yaw dan Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Cassidy Morris.
Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata, sebelum ini projek ini terhenti untuk tempoh dua tahun akibat sekatan yang dikenakan ketika pandemik Covid-19.
Projek tersebut dijadualkan siap pada 16 Disember depan, namun setelah disemak semula, ia djadualkan kepada 23 Jun tahun depan.
Setakat ini, dari segi kemajuan fizikal, projek ini berjalan sebanyak 45.52 peratus berbanding jadual sebanyak 82.96 peratus.
Uggah memberitahu, pelan pemaju dan keupayaan kontraktor untuk mematuhinya amat penting kerana JKR mengunjurkan ia siap menjelang suku ketiga 2024.
“Kontraktor terlibat tidak akan dibenarkan meneruskan projek ini jika terdapat bukti yang mencukupi yang beliau tidak mampu melakukannya (menyiapkan projek tersebut)", tambahnya.
Sebelum ini, jambatan satu laluan dua lorong sepanjang 560 meter itu dianugerahkan kepad sebuah syarikat usahasama tempatan dan China, sebagai sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak.
Sementara itu, kerja-kerja menaik taraf lima bulatan di sepanjang Lebuh raya Kuching-Samarahan kini sedang berjalan lancar.
Kata Uggah, sebuah syarikat kontraktor penyelamat Glumox Abiz Sdn. Bhd., kini sedang melaksanakan kerja-kerja tersebut.
Ketika ini katanya, kemajuan projek adalah sekitar 35 peratus berbanding jadual iaitu 14.13 peratus.
Projek yang menelan kos sebanyak RM72.7 juta itu dijangka siap pada 10 Januari 2024.
Pada masa yang sama, Uggah turut meninjau kemajuan kerja-kerja menaik taraf Jalan Matang Baru Fasa 2 (dari Matang Jaya ke Jalan Matang/ Jalan Batu Kawa-Persimpangan Matang) dari laluan dua lorong sedia ada kepada jalan raya berkembar empat lorong.
Sebuah syarikat tempatan, Mirecont Sdn. Bhd. telah diberi tempoh selama 18 bulan untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut, yang bermula pada 28 Oktober lalu.