Tiada alasan tidak tuntut kad pengenalan - JPN

Bernama
Julai 16, 2017 17:23 MYT
Sebanyak 159,000 kad pengenalan direkodkan oleh JPN masih belum dituntut oleh pemiliknya hingga ada yang melebihi tempoh dua tahun. - Gambar fail
Tiada alasan untuk orang ramai tidak menuntut kad pengenalan yang sudah siap dikeluarkan memandangkan terdapat 231 pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara ketika ini, kata Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli.
Malah kata beliau, jumlah itu juga dijangka akan bertambah dengan pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang baharu berikutan jabatan itu merupakan satu daripada agensi yang diwajibkan untuk berada di setiap pusat transformasi.
"Sekiranya mereka uzur atau tidak mampu untuk mengutip kad pengenalan di pejabat JPN daerah, kami ada menyediakan perkhidmatan bergerak sama ada ke rumah atau ke hospital, hanya perlu maklumkan kepada JPN.
"Malah kalau tidak sempat berurusan pada waktu siang, pejabat JPN di UTC ada beroperasi sehingga pukul 10 malam," katanya selepas melancarkan Hab Percetakan Teragih (DPP) MyKad negeri Kedah di sini hari ini.
Sebanyak 159,000 kad pengenalan direkodkan oleh JPN masih belum dituntut oleh pemiliknya hingga ada yang melebihi tempoh dua tahun.
Sehubungan itu, JPN sebelum ini bercadang untuk memendekkan tempoh sah laku resit kad pengenalan sementara sebagai satu daripada inisiatif untuk mengurangkan kes Mykad yang tidak dituntut selain bercadang menaikkan kadar fi kepada mereka yang gagal menuntut dalam tempoh yang diberikan.
Projek Hab DPP membolehkan tempoh serahan MyKad bagi pejabat Sub Hab dapat dipendekkan dari 10 hari bekerja kepada lima hari untuk Semenanjung Malaysia serta dari 30 hari kepada tujuh hari bekerja bagi Sabah dan Sarawak.
Sebanyak 36 daripada 55 pejabat DPP di seluruh negara telah dijadikan hab DPP yang akan mencetak permohonan MyKad dari 157 pejabat JPN berdekatan (Sub Hab), sekali gus menjimatkan tempoh siap pengeluaran MyKad antara 50 hingga 77 peratus.
Di Kedah, ia melibatkan dua hab iaitu di ibu pejabat JPN Kedah yang akan membuat cetakan bagi permohonan MyKad dari Sub Hab JPN Padang Terap, Pendang, Yan, Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, RTC Napoh dan Bandar Baharu manakala UTC Alor Setar membuat cetakan bagi permohonan dari Sub Hab JPN Baling dan Langkawi.
-- BERNAMA
#Jabatan Pendaftaran Negara #JPN #kad pengenalan #Mohd Yazid Ramli #mykad #tuntut #UTC
;