Tiada alasan susah dapat sijil halal - Mujahid

Aida Aziz
Oktober 4, 2019 07:01 MYT
Mujahid (dua kiri) pada majlis perasmian Ummatic Festival 2.0 di Masjid Muhammad Al Fateh di Ipoh malam tadi. Facebook Dr Mujahid Yusof Rawa
Tiada alasan bagi para peniaga untuk tidak mendaftar atau memperbaharui sijil halal memandangkan prosesnya tidak rumit dan boleh diperoleh secara atas talian.
Peniaga di peringkat negeri boleh membuat permohonan sijil halal untuk perniagaan mereka secara online sebelum ia dibawa ke peringkat persekutuan untuk diproses di peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang mengakui pihaknya sedar terdapat segelintir peniaga yang secara sengaja memburukkan sijil halal dan menyalahgunakannya.
"Pihak kami ada beberapa pendekatan dalam menangani masalah ini. Kita mesti mendapat aduan daripada orang ramai. Maklum pada kita dan penguatkuasa di peringkat negeri akan pergi ke premis itu.
"Halal ini 'mahal' pensijilannya. Bukan mahal dari segi kos, tetapi mahal maksudnya berharga. Tidak timbul (masalah dapatkan sijil halal) sebab semuanya online.
"Isu mengatakan ia susah (diperolehi) tidak timbul. Sudah tentulah kami menjaga standard halal. Apabila mereka hendak perbaharui sijil, kami perlu periksa semula," katanya pada majlis perasmian Festival Ummatic 2.0 di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, di sini, malam tadi.
Mujahid berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang cuba memburukkan reputasi Jakim dalam isu pensijilan halal.
Selain itu, terdapat juga kilang makanan ringan di Perak baru-baru ini yang menggunakan sijil halal tamat tempoh.
BACA: Kedai mamak tidak perlu beroperasi dengan sijil halal - PRESMA
BACA: KPDNHEP Perak serbu kilang makanan ringan guna sijil halal tidak sah
Ujarnya lagi, antara usaha yang dilakukan bagi menangani masalah tersebut termasuk menyediakan aplikasi telefon pintar 'Verify Halal' untuk para pengguna menyemak status halal sesuatu produk.
"Kita ada membangunkan satu aplikasi 'Verify Halal' yang boleh dimuat turun dan mengandungi senarai produk yang berdaftar dengan kita," katanya.
Jelasnya, individu yang meragui tanda halal pada sesuatu produk boleh mendapatkan pengesahan melalui aplikasi berkenaan dengan mudah.
Katanya, walaupun penguatkuasaan halal di bawah Akta Perihal Dagangan dalam Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, namun Jakim sebagai pemegang sijil halal turut memberi bantuan sokongan penguatkuasaan.
BACA: Sijil Halal: 'Tindakan pemimpin terdesak' - Dakwaan Ismail Sabri disanggah Fuziah
BACA: Syarat pensijilan halal tidak akan dilonggar hanya kerana mahu bantu usahawan kecil
Sementara itu, dalam ucapannya, Mujahid berkata kesucian masjid dan surau perlu dipelihara, supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan kebencian atau ideologi, dengan menjadikan program tertentu sebagai alasan.
Katanya beliau akan memohon setiap kerajaan negeri supaya mengambil tindakan tegas, kepada pihak yang menjalankan program berunsurkan parti politik di masjid, susulan banyak aduan yang diterima menyatakan jemaah berasa tidak selesa dengan penceramah tertentu.
#aplikasi #atas talian #Halal #Islam #JAKIM #kerajaan #masjid #Mujahid Yusof Rawa #online #peniaga #salah guna sijil #sijil halal #tanda halal palsu #telefon pintar #Verify Halal
;