Tiada air, penduduk tangguh mandi jenazah

Sinar Harian
Mei 30, 2022 07:30 MYT
Penduduk Mukim 5, SPS mengadakan bantahan aman di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang mengenai masalah bekalan air pada Isnin. -Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Penduduk di Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS) buntu apabila terpaksa berdepan dengan masalah bekalan air yang tidak pernah diselesaikan sejak empat tahun lalu.
Lebih teruk, pada Jumaat lalu, urusan memandikan jenazah terpaksa ditangguhkan setengah jam kerana tiada bekalan air di kawasan tersebut.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Sementara, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi, 30 berkata, selain masalah itu, anak-anak penduduk yang tinggal di asrama juga diminta pulang oleh pihak sekolah kerana masalah berkenaan.
Susulan daripada itu, dia bersama lebih 30 wakil penduduk mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, pada Isnin.
Menurut Khairul Ahmad, tujuan demonstrasi tersebut adalah untuk menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan Pulau Pinang agar masalah mereka diberi perhatian sekali gus masalah bekalan air itu dapat diselesaikan.
"Kami berkumpul pada hari ini (Isnin) adalah untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri. Kami mengambil kesempatan kerana hari ini adalah hari pertama persidangan bermula.
"Kami buntu apabila masalah ini belum dapat diselesaikan sehingga kini.
"Masalah ini telah beberapa kali dibangkitkan kepada kerajaan negeri, wakil rakyat dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) namun masih tiada tindakan susulan.
"Apa yang kami dapat adalah jawapan yang mengecewakan dan penyelesaian jangka pendek yang langsung tidak mementingkan kebajikan kami sebagai rakyat," katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman di sini pada Isnin.
Ditanya mengenai jawapan yang diberikan pihak berkuasa, dia berkata, antara jawapan tersebut adalah bekalan air di kawasan tersebut terpaksa dibahagikan dengan kawasan industri di Batu Kawan dan Bukit Minyak.
"Alasan ini dilihat tidak boleh diterima kerana tidak adil bagi kami sebagai pengguna domestik. Walaupun langkah jangka pendek pihak berkaitan menyediakan tangki air sementara untuk menampung kira-kira 32,000 isi rumah (akaun), ia sebenarnya tidak mencukupi.
"Selain itu, tangki air sementara itu diisi dengan air yang tidak sesuai untuk kegunaan penduduk lebih-lebih lagi untuk memasak.
"Malah, ia juga menyusahkan penduduk khususnya warga emas yang tinggal jauh dari lokasi tangki itu untuk mengangkat air setiap hari khususnya ketika mereka tinggal bersendirian," katanya.
Dalam pada itu, penduduk yang juga kakitangan swasta, Nurul Niza Zaini, 44 berkata, dia dan penduduk di Taman Seri Emas ketika ini hanya menerima bekalan air dalam tempoh hanya empat jam iaitu antara jam 1 pagi hingga 4 pagi setiap hari.
"Tempoh penerimaan air yang saya terima tidak logik serta menyusahkan penduduk yang terpaksa bangun tengah malam atau berjaga sehingga awal pagi untuk menyelesaikan urusan rumah berkaitan penggunaan air.
"Masalah ini semakin meruncing sejak awal tahun ini, disambung pula pada Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri lalu. Kami pernah terputus bekalan air antara 15 hingga 20 jam," katanya.
Katanya lagi, penduduk sudah tidak sabar lagi dan tidak teragak-agak untuk membuat laporan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya masalah tersebut masih tidak diselesaikan.
*Berita asal di Sinar Harian
#bekalan air #tangguh mandi jenazah #Mukim 5 Seberang Perai Selatan #demonstrasi aman
;