Tiada aduan Rumawip dihentikan - Zuraida

Bernama
Julai 7, 2018 05:57 MYT
ZURAIDA: Jika ada aduan, kami akan ambil pendekatan untuk pastikan mereka tidak dianiaya.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan bahawa projek pembinaan Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) akan diberhentikan.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata jika ada sebarang aduan berhubung isu itu, beliau bersedia untuk bertemu pembeli unit perumahan berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
"Setakat ini kami tidak terima sebarang aduan berhubung perkara ini...tetapi jika ada, kami akan ambil pendekatan untuk pastikan mereka tidak dianiayai dan mereka mendapat hak mereka," katanya selepas ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 di Taman Kosas, pada Sabtu.
Sebelum ini, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa projek rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan itu akan dihentikan.
Dalam pada itu, Zuraida berkata konsep perumahan sosial dan awam Singapura akan dijadikan contoh dalam pelaksanaan dasar perumahan awam di negara ini.
Katanya, dalam lawatan kerja tiga hari ke negara jiran itu yang berakhir pada Sabtu, banyak input berhubung dasar perumahan Singapura yang boleh diterapkan dalam dasar perumahan negara.
"Saya pergi ke sana berjumpa dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) di Singapura untuk membuat kajian bagaimana mahu memberikan impak positif serta penambahbaikan terhadap dasar perumahan sedia ada.
"Saya juga berkesempatan melihat sendiri bagaimana menteri di sana melaksanakan serta menguruskan rumah mampu milik teratur serta terancang dan itu yang kami mahukan," katanya
-- BERNAMA
#aduan rakyat #KPKT #perumahan #rumah wilayah persekutuan #RUMAWIP #Zuraida Kamaruddin
;