Tiada aduan rasmi tentang kualiti Menu Rahmah setakat ini - Salahuddin
Astro Awani
Februari 27, 2023 15:24 MYT
Februari 27, 2023 15:24 MYT
DENGKIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) setakat ini tidak menerima sebarang aduan rasmi dari pengguna berhubung kualiti Menu Rahmah, kata Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Salahuddin berkata, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang peraturan kepada peniaga yang menyediakan Menu Rahmah.
Salahuddin juga menjelaskan, peniaga-peniaga menyediakan Menu Rahmah dengan hasrat untuk membantu golongan yang memerlukan.
"Saya yakin dengan semangat itu, tidak ada manusia sebagai makhluk Allah yang mahu berbakti memberi barang-barang yang tidak berkualiti.
"Setakat ini Menu Rahmah ini boleh dinikmati dengan harga RM5 dan kemudiannya kualiti dan kuantitinya tidak pernah rakyat complain," katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan Menu Rahmah di Kawasan Rehat dan Rawat (RR) Dengkil, Lebuhraya ELITE arah selatan di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh.
Salahuddin juga menjelaskan, peniaga-peniaga juga memaklumkan jualan mereka meningkat selepas menyediakan Menu Rahmah.
Beliau memaklumkan, pihaknya akan berbincang dengan pengeluar makanan bagi membolehkan mereka menjual pada harga yang lebih murah kepada peniaga yang menyediakan Menu Rahmah.
"Selepas ini saya akan berjumpa dan berbincang pula dengan pihak-pihak yang menjadi pengeluar makanan.
"Mungkin selepas kita akan berbincang, pihak-pihak pengeluar makanan ini akan menyediakan Jualan Rahmah kepada mana-mana pemilik gerai yang menjayakan Menu Rahmah.
"Itu next step lah yang akan cuba saya usahakan," katanya lagi.
Menurut Salahuddin, lebih 755 premis termasuk 215 gerai di semua lebuh raya di seluruh negara telah menyediakan Menu Rahmah kepada pelanggan mereka.