Tiada aduan harga barangan melampau sepanjang SHMMP 2023 - Salahuddin
Bernama
April 30, 2023 21:38 MYT
April 30, 2023 21:38 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menerima sebarang aduan dan rungutan berhubung isu kenaikan harga barang melampau sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 dilaksanakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata hasil maklumat dan pemantauan oleh pihak penguatkuasaan mendapati rata-rata pengguna, malah peniaga turut berpuas hati dengan skim harga itu.
"Setakat ini, tidak ada langsung aduan atau bantahan daripada pengguna berkenaan harga barang naik atau pelanggaran harga maksimum yang ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria, di sini hari ini.
Salahuddin berkata kerjasama KPDN dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, media serta agensi berkaitan telah membantu pihaknya membuat pemantauan harga dengan lebih efisien.
"Contohnya beberapa hari sebelum hari raya, media ada melaporkan bakal ada kekurangan telur di Kelantan dan Terengganu, pegawai saya turun padang untuk menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan, langsung berlaku lambakan telur di dua negeri itu.
"Jadi tiada langsung masalah semasa musim perayaan ini, namun pemantauan dan kawalan terhadap harga barangan terutamanya barangan keperluan akan diteruskan," katanya.
Pada 12 April lepas, sebanyak 30 jenis barangan ditetapkan menerusi SHMMP 2023 yang bermula pada 15 April dan berakhir hari ini.
-- BERNAMA