Tiada acara pelancongan berskala besar diadakan di Sarawak tahun ini

Astro Awani
April 22, 2020 14:40 MYT
Beliau berharap agar pemain industri dapat terus bertahan dalam memastikan sektor pelancongan negeri mampu berkembang seperti sebelum ini.
Sarawak memutuskan tiada sebarang penganjuran acara pelancongan berskala besar diadakan di negeri itu tahun ini.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bagi mengelak risiko jangkitan COVID-19 terutama melibatkan jumlah pengunjung yang ramai.
"Semua acara pelancongan yang melibatkan jumlah pengunjung yang ramai akan dibatalkan.
"Malah, walaupun pada satu ketika negara merekodkan kes sifar COVID-19, ia bukan bererti kita boleh terus menjayakan sesuatu acara pelancongan. Masih terdapat risiko dan berbahaya," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini.
Menyedari kesannya kepada industri pelancongan Sarawak, kata Abdul Karim langkah itu adalah wajar diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai diutamakan.
Beliau berharap agar pemain industri dapat terus bertahan dalam memastikan sektor pelancongan negeri mampu berkembang seperti sebelum ini.
"Harapan saya kepada mereka yang berada dalam industri ini untuk bersabar dan dapat kekal dengan apa yang berlaku kerana akan ada jalan pengakhirannya.
"Perlu diingatkan penularan wabak ini bukan hanya melibatkan sektor pelancongan tetapi semua sektor lain," katanya.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, sektor pelancongan tidak akan melonjak naik secara mendadak dalam tempoh yang singkat pasca COVID-19.
Ini kerana jelasnya, pandemik itu membeirkan impak yang besar kepada semua sektor bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
"Kalau kita nak mengharap industri pelancongan terus melonjak (pasca COVID-19) dia tidak akan berlaku. Apa yang penting kita fokus kepada pelancongan domestik dahulu," katanya.
Abdul Karim turut menjelaskan, kementeriannya akan berbincang dengan pemain industri terjejas bagi mendapatkan maklum balas termasuk mengumumkan pelan rangsangan pelancongan bagi memperkukuh industri itu.
#COVID-19 #Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah #Jazz Festival #Kuching #Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Sarawak #RWMF #Sarawak
;