TI-M sambut baik cadangan penubuhan Mahkamah Khas dan Mahkamah Tinggi Rasuah

Sahlizah Mohamed
Mac 21, 2019 15:00 MYT
Akhbar (tengah) mengambil gambar bersama peserta yang hadir pada forum Political Funding in Malaysia-The European Experience di Kuala Lumpur. - Foto Astro AWANI
Transparency International -Malaysia (TI-M) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah yang memberi fokus kepada kes rasuah sepenuhnya.
Presidennya, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, langkah itu bukan sahaja akan mempercepatkan kes, malah hakim-hakim yang akan membicarakan semua pertuduhan rasuah juga adalah dalam kalangan mereka yang berpengalaman.
“Mahkamah-mahkamah Sesyen sudah ada, lebih kurang 15 ke 20 buah, tetapi saranan Tun Mahathir itu bagus untuk mempercepatkan kes.
“Sekurang kurangnya hakim-hakim yang membicarakan kes itu mempunyai pengalaman dan juga merit serta sudah tentu kes-kes ini diadili dengan lebih telus dan tepat.
“Itu adalah cadangan yang bagus. Sepatutnya cadangan ini dipercepatkan kerana kes-kes rasuah ini sukar untuk dibicarakan sebab memerlukan saksi yang ramai dan dokumen yang banyak,” katanya pada Khamis.
TI-M merupakan sebuah pertubuhan dunia yang mengetuai gerakan membasmi rasuah selain mengeluarkan indeks rasuah yang menyenaraikan kedudukan negara-negara berdasarkan prestasi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas langkah kerajaan yang akan menubuhkan Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Tinggi Khas Rasuah bagi membolehkan kes berkenaan dikendalikan dengan lebih cepat.
Sebelum itu, beliau hadir pada forum Political Funding in Malaysia-The European Experience di Kuala Lumpur.
“Pada zaman saya dulu, ia memerlukan 10 tahun untuk menghabiskan satu kes, tetapi kini dengan adanya mahkamah khas, mungkin kes dapat diselesaikan dalam masa setahun atau dua tahun.
“Kita juga berharap agar mahkamah-mahkamah ini akan menggunakan sistem dan tidak memerlukan hakim untuk menulis. Di luar negara, kita dapati bahawa mahkamah ada menyediakan pembantu yang pakar dalam membantu hakim mempercepatkan kes,” katanya lagi.
#Datuk Seri Akhbar Satar #Mahkamah Khas Rasuah #mahkamah tinggi khas rasuah #Malaysia #Rasuah #SPRM #tranparency #Tun Mahathir
;