TI-M: Pendedahan video perlu siasatan
Astro Awani
Mac 20, 2013 13:25 MYT
Mac 20, 2013 13:25 MYT
Badan pemerhati anti rasuah, Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berdasarkan pendedahan video Sarawak oleh NGO antarabangsa Global Witness (GW).
Pengerusi TI-M Datuk Paul Low berkata "ianya merupakan satu keperluan untuk menjalankan siasatan" dan beliau turut meminta siasatan dilakukan berlunaskan undang-undang dan berdasarkan bukti yang ada.
"Pendedahan tersebut adalah perkara pertama yang perlu dipantau, video tersebut merupakan bukti yang kes tersebut memerlukan penyiasatan. Inilah ketelusan. Ianya sebuah rakaman video," menurut Low.
"Jika Global Witness mempunyai rakaman temuduga, saya yakin pihak tersebut boleh menjadi saksi dan memanggil mereka yang berkaitan," Low memberitahu Astro Awani.
Apabila ditanya mengenai kemungkinan jenayah yang berlaku, Low berkata ianya terserah kepada pihak berkuasa tetapi pastinya akan berdasarkan kes itu sendiri. "Ianya kelihatan seperti berkait dengan salahguna kuasa, rasuah atau penggubahan wang haram,"
Ditanya pula berhubung kredibiliti NGO yang berpusat di London itu, "NGO ini agak terkenal. Ia tidak akan membuat sesuatu tuduhan tidak berasas, Mereka adalah NGO yang profesional dan bukan yang separuh masak."
Astro Awani beberapa kali cuba mendapatkan maklumbalas dari SPRM namun menemui jalan buntu. Panggilan tidak berjawab itu ditujukan kepada Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Mohd Shukri Abdull dan Pengarah Siasatan Datuk Mustafar Ali.
Sementara itu, video tersebut terus menjadi topik hangat di media sosial semalam yang mana 'Sarawak' dan 'Taib' masih menjadi topik perbualan.