Thomas Cook kandas - MH A380 bergegas

Razak Chik
September 23, 2019 23:24 MYT
Kira-kira 160,000 warga UK yang sedang bercuti terperangkap di luar negara setelah kesemua pesawat milik Thomas Cook terpaksa dihentikan dari beroperasi.
SEBUAH pesawat Airbus A380 milik syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) antara 45 pesawat disewa pihak bekuasa United Kingdom menyertai operasi mengangkut penumpang yang terkandas di destinasi percutian pulang ke United Kingdom.
Operasi yang digelar Matterhorn dilancar pihak penerbangan awam United Kingdom (Civil Aviation Authority) setelah Thomas Cook – syarikat pelancungan ikonik yang wujud sejak 1841 di United Kingdom diisytihar bankrap pada Isnin.
Status bankrap ini menimbulkan kerumitan dan kerugian kepada hampir 600 ribu pelanggan Thomas Cook yang sudah menempah atau sedang bercuti di pelbagai destinasi samaada di Eropah, Timur Tengah, Kepulauan Karibean dan Amerika Syarikat.
Akibatnya, kira-kira 160,000 warga UK yang sedang bercuti terperangkap di luar negara setelah kesemua pesawat milik Thomas Cook terpaksa dihentikan dari beroperasi.
Usaha membawa mereka pulang sekarang terpaksa ditanggung pihak CAA – satu operasi yang dijangka memakan belanja lebih dari 600 juta Pound Sterling. Perbelanjaan ini ditanggung menggunakan dana dari kutipan levi ATOL (Air Transport Operator’s Levy) yang sedia ada.
Melalui dana ini, pihak CAA UK bertindak menyewa pelbagai pesawat kepunyaan syarikat komersil termasuk Malaysia Airlines.
Sebuah pesawat Airbus A380 kepunyaan Malaysia Airlines disewa secara `wet lease’ atau sewa penuh – lengkap dengan juruterbang dan anak kapal sudah tiba di lapangan terbang Manchester pada awal pagi Isnin untuk menyertai Operasi Matterhorn.
#Airbus A380 #Malaysia Airlines #Operasi Matterhorn #penerbangan Malaysia #Thomas Cook #United Kingdom
;