Think City manfaatkan peruntukan RM20 juta jadikan KL indah, kreatif, berbudaya

Astro Awani
Oktober 20, 2023 09:00 MYT
Hamdan berkata, Think City komited untuk menyumbang kepada visi ini melalui inisiatif-inisiatif yang membawa perubahan yang bermakna. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Dengan peruntukan berjumlah RM20 juta, Think City akan terus memacu pembangunan Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai sebuah daerah kreatif dan kebudayaan, dengan tumpuan khas kepada projek-projek utama di kawasan Masjid Jamek dan kawasan sekitarnya.
Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed berkata, beliau mengalu-alukan pengumuman oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada Think City bagi usaha mengangkat dan memulihara Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya.
"Kami akan memperdalam kerjasama dengan komuniti setempat bagi bersama-sama memulihara, menginovasi serta mengaktifkan kawasan pusat bandar bersejarah.
"Peruntukan ini bukan sahaja akan mentransformasi landskap bandar, malah akan menjana peluang pekerjaan kepada penduduknya," ujar Hamdan.
Tambahnya, selain pembangunan fizikal, ia juga akan mengatasi cabaran kemunduran komuniti bandar, meningkatkan kualiti hidup, memperbaharui struktur-struktur bersejarah, serta merangsang kemajuan sosial dan ekonomi yang lebih luas, terutamanya dalam industri peruncitan, kreatif dan pelancongan.
Hamdan juga menzahirkan rasa sukacita mengenai peruntukan bagi pengurusan dan pemuliharaan Tasik
Timah Tasoh di Perlis dan Tapak Warisan Dunia UNESCO, Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum,
Perak.
"Pelaburan ini berpotensi untuk memajukan pemeliharaan dan pembangunan tapak-tapak warisan ini sebagai punca ekonomi berasaskan budaya utama.
"Tapak-tapak ini sejajar dengan Program Rangkaian Archaeopelancongan Wilayah Utara Think City dan kami teruja dapat mengusahakan dengan kerajaan negeri masing-masing, rakan-rakan usahama strategik, ahli-ahli akademik, NGO-NGO dan komuniti tempatan untuk memaksimumkan kesan positif inisiatif ini," katanya.
Belanjawan 2024, menurut Hamdan, mengukuhkan komitmen yang dilakarkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI, iaitu mengangkat martabat ekonomi negara dan rakyat serta penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.
"Think City komited untuk menyumbang kepada visi ini melalui inisiatif-inisiatif yang membawa perubahan yang bermakna dan positif dalam bandar-bandar dan komuniti kita.
"Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kami kepada Khazanah Nasional Berhad, Yayasan Hasanah, serta rakan-rakan tempatan dan antarabangsa dan komunitikomuniti yang berkongsi visi yang sama dalam membentuk bandar-bandar yang berdaya huni," ujarnya.
#Think City #peruntukan #Kuala Lumpur #seni budaya #inovasi #Hamdan Abdul Majeed
;