Thaipusam: Wajah baharu Batu Caves dijangka tarik lebih 1.6 juta pengunjung
Bernama
Januari 19, 2019 11:35 MYT
Januari 19, 2019 11:35 MYT
Batu Caves yang menampilkan wajah baharu dijangka menarik lebih 1.6 juta penganut Hindu dan pelancong bersempena sambutan ke-233 tahun perayaan Thaipusam pada Isnin ini.
Pemegang Amanah Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam Batu Caves Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata tahun ini kedatangan penganut dan pengunjung akan disambut dengan keindahan pelbagai warna yang menghiasi 272 anak tangga ke gua batu kapur itu.
"Sebaik kesemua anak tangga itu siap dicat dengan pelbagai warna pada 31 Ogos lepas, kedatangan pengunjung ke Batu Caves berganda setiap hari. Ternyata keputusan mengecat tangga itu tepat serta menerima maklum balas positif daripada umum.
"Malah pembaharuan itu kini menjadi faktor tarikan orang ramai yang teruja ingin merakam foto pemandangan yang unik dan indah itu khususnya pada Thaipusam pada kali ini," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program rakaman rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, di sini.
Menurutnya sebelum ini anak tangga tersebut hanya berwarna merah dan putih.
Kumararajah berkata pihak pengurusan kuil memutuskan untuk mengecat kesemua anak tangga berkenaan dengan tujuh warna iaitu merah, hijau, biru, kuning, jingga, putih dan indigo agar suasana lebih ceria dan sedikit berbeza berbanding sebelumnya.
"Tiada perancangan atau bajet khas bagi mengecat 272 anak tangga itu. Pihak pengurusan hanya guna baki cat yang telah digunakan sebelum ini bagi mengelak pembaziran dan kerja-kerja mengecat dilakukan beberapa sukarelawan dalam tempoh dua hari sahaja," katanya.
Kumararajah yang juga Penyelaras Keselamatan dan Perubatan Sambutan Thaipusam 2019 berkata uniknya Thaipusam di Malaysia ialah upacara keagamaan itu diraikan secara besar-besaran sehingga menjadi antara tarikan pelancongan terkenal di mata dunia.
"Jika dilihat di tempat-tempat lain khususnya di India, ketika sambutan Thaipusam hanya diadakan upacara keagamaan. Jika di Batu Caves secara khususnya pula, tempat keagamaan ini juga sebagai daya tarikan bagi sektor pelancongan dan menjadi ikon yang unik kepada negara.
"Infrastruktur yang terdapat di Batu Caves juga tiada di mana-mana tempat di dunia. Kawasannya seluas 14 ekar dengan terdapat empat baris tangga memasuki gua kuil menerusi ratusan anak tangga berwarna-warni serta terdapat patung berwarna emas Dewa Murugan setinggi 42.7 meter iaitu yang tertinggi di dunia," katanya.
Mengenai persiapan bagi memastikan sambutan Thaipusam tahun ini berlangsung dengan meriah, aman dan harmoni, Kumararajah berkata perancangan rapi khususnya mengenai keselamatan dan logistik telah dibuat sejak tiga bulan lepas.
Katanya memandangkan tahun ini Thaipusam jatuh pada hujung minggu dengan pelbagai upacara bermula pada Jumaat hingga Isnin, lebih 1,500 sukarelawan daripada 14 agensi kerajaan akan bertugas bagi membantu kelancaran sambutan termasuk bantuan perubatan dan kecemasan.
"Sepanjang empat hari ini keadaan dijangka amat sesak dengan orang ramai. Para sukarelawan ditempatkan di pelbagai lokasi, termasuk di dalam gua dan di tebing Sungai Batu yang turut menjadi lokasi perarakan dan upacara sembahyang," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar menggunakan pengangkutan awam serta mengutamakan faktor keselamatan dan menjaga kesihatan terutamanya kanak-kanak dan warga emas sambutan Thaipusam itu nanti.
Thaipusam adalah perayaan yang disambut penganut agama Hindu semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil Thai yang jatuh sama ada pada Januari atau Februari setiap tahun.
Bersempena perayaan itu, penganutnya akan menunaikan nazar mereka dengan menjunjung 'paal kudam' (belanga susu) yang dianggap paling suci dan 'kavadi' yang dihias cantik sambil menaiki 272 anak tangga tangga Batu Caves menuju ke kuil di dalam gua itu.
-- BERNAMA