Thaipusam: Rondaan aman di Batu Caves setiap lapan jam - PDRM

Bernama
Januari 24, 2024 13:35 MYT
Polis berharap sambutan Thaipusam esok berjalan lancar dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis akan membuat rondaan aman dalam setiap lapan jam bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang sambutan Thaipusam di Batu Caves, esok, yang dijangkakan dihadiri ramai pengunjung.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S.Sasikala Devi berkata rondaan lapan jam berkenaan adalah untuk satu syif penugasan.
"Saya meminta orang ramai yang hadir ke Batu Caves diminta berwaspada dan menjaga barang berharga masing-masing. Saya berharap sambutan Thaipusam pada esok berjalan lancar dan tiada sebarang insiden yang tidak baik berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra bersama pengunjung-pengunjung di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, di sini, hari ini.
Isnin lepas, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata seramai 1,600 pegawai dan anggota polis ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan serta keselamatan orang ramai, selain beberapa pusat kawalan statik disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan dan membuat laporan polis.
-- BERNAMA
#Batu Caves #Thaipusam #rondaan aman #keselamatan
;