Thaipusam: Pulau Pinang tetap tidak benarkan perarakan pedati
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 26, 2021 16:50 MYT
Januari 26, 2021 16:50 MYT
GEORGE TOWN: Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) tetap tidak membenarkan sebarang perarakan membawa pedati sempena Thaipusam di Pulau Pinang meskipun Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan upacara berkenaan dilakukan di Batu Caves, Selangor.
Pengerusinya, Prof Dr. P. Ramasamy menjelaskan, pendirian itu diputuskan selaras dengan keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang yang tidak mahu sebarang upacara yang memerlukan rakyat berkumpul atas faktor keselamatan bagi mengawal penularan wabak COVID-19.
Ramasamy menegaskan, keselamatan rakyat khususnya penganut Hindu menjadi keutamaan pihaknya buat masa ini kerana kes jangkitan pandemik COVID-19 masih tinggi.
Bagaimanapun, jelas beliau, penganut Hindu tetap boleh menyambut perayaan tersebut di rumah masing-masing sesuai dengan situasi semasa.
“Kita ambil keputusan atas kebajikan dan kesihatan keselamatan rakyat, COVID-19 ini bukan (perkara) main-main, ini pukulan hebat pada negara, tiada duit, tak boleh jaga keluarga, hotel tutup, dalam situasi serius ini kenapa mahu adakan ini (perarakan pedati).
“Semalam Ketua Menteri kata tidak ada perayaan Tahun Baharu Cina, ini tidak bermakna tidak ada lagi Tahun Baharu Cina. Hari ini kita kata tidak ada lagi perarakan pedati, tidak bermakna kita hapuskan Thaipusam. Kalau semua ini (COVID-19) sudah selesai, tahun depan kita adakan Thaipusam dalam suasana lebih gembira.
“Apa salah (tidak benarkan perarakan pedati), jadi kita buat keputusan ini untuk menghalang COVID-19 atas keselamatan penduduk Pulau Pinang,” kata Ramasamy dalam sidang media di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri 11 Pulau Pinang mempersoalkan keputusan MKN yang membenarkan pergerakan pedati membawa Dewa Murugan dari kuil di Batu Caves, Selayang.
Katanya, keputusan itu menyebabkan pihak pengurusan beberapa kuil di seluruh negara termasuk pengurusan Kuil Nattukottai Chettiar di Pulau Pinang turut memohon untuk mengadakan perarakan sama.
Ramasamy berkata, MKN tidak seharusnya bersikap 'doubel standard' dalam membuat keputusan kerana kebenaran di Batu Caves itu dibimbangi akan mencetuskan masalah dalam kalangan pihak pengurusan kuil lain.
Kebenaran yang diberikan MKN itu, tegas Ramasamy, akan menyebabkan ada permintaan untuk mengadakan perarakan pedati emas dengan perjalanannya merangkumi negeri Perak dan Kedah selain di beberapa buah kuil di Selangor dan Johor.
“MKN tidak boleh ‘double standard’ benarkan (pergerakan pedate) di Batu Caves (dan) tidak membenarkan yang lain. Kalau (mahu) benarkan semua. Bila dia (MKN) setuju Batu Caves, hanya akan mencetuskan permintaan.
“Sekarang Chettiar (Kuil Nattukottai Chettiar) juga minta, jadi apakah pendirian kita supaya kita mahu lawan COVID-19 ini? MKN kenapa tukar pendirian,” soal Ramasamy lagi.
Sebelum ini, PHEB memutuskan perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam yang bermula 27 hingga 29 Januari itu dibatalkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan MKN meluluskan perarakan pedati yang membawa arca Dewa Murugan sempena perayaan Thaipusam di kuil Batu Caves.
#pulau pinang
#Thaipusam
#perarakan pedati
#penganut hindu
#Batu Caves
#Pandemik COVID-19
#Majlis Keselamatan Negara