Thaipusam perlu dijadikan cuti umum di seluruh negara - Mah

Bernama
Februari 8, 2017 07:44 MYT
Pada masa ini, hanya Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor yang menjadikan festival itu sebagai cuti umum. - Gambar fail
Thaipusam yang merupakan cuti umum di negeri tertentu dan Wilayah Persekutuan di Malaysia perlu diwartakan sebagai cuti umum di seluruh negara, kata Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.
Dalam perutusannya pada Rabu bersempena sambutan Thaipusam hari ini, beliau berkata negeri lain perlu melakukan perkara yang sama dan mewartakan festival keagamaan itu bagi mengiktiraf sumbangan dua juta masyarakat India di negara ini.
Pada masa ini, hanya Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Selangor yang menjadikan festival itu sebagai cuti umum.
Mah berkata rakyat Malaysia bukan sahaja tertarik dengan perayaan berwarna-warni itu dan semangat yang menakjubkan, tetapi juga mesej kerohaniannya mengenai kebenaran, keadilan dan ketabahan.
"Thaipusam dan pelbagai festival yang terus diraikan dengan baik di Malaysia merupakan bukti kukuh terhadap kepelbagaian agama dan budaya kita. Ia membangkitkan rasa sebenar budaya, warisan dan kebanggaan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
#cuti umum #mah siew keong #Thaipusam
;