Thaipusam: Penumpang komuter Lembah Klang nikmati tambang percuma dua hari

Bernama
Februari 4, 2025 13:51 MYT
Loke (tengah) beramah mesra bersama pelancong asing selepas mengadakan sidang media KTMB sempena Thaipusam di Stesen KTM, Batu Caves hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari sempena Thaipusam bermula 10 Feb.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kemudahan itu ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang, menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG), selain perkhidmatan itu akan beroperasi 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad.
Beliau berkata perkhidmatan bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelaburan Klang akan diubah dan beroperasi mengikut jadual perjalanan penuh sepanjang sambutan itu.
"Inisiatif ini diambil bagi memenuhi keperluan permintaan penumpang khususnya penganut agama Hindu, pelancong serta orang awam yang ingin menyaksikan keunikan sambutan Thaipusam di Batu Caves.
"Kita jangkakan hampir 500,000 pengguna akan memanfaatkan perkhidmatan ini, iaitu peningkatan 10 peratus berbanding tahun lepas dengan kemuncak perjalanan dijangka pada 11 Feb," katanya pada sidang media di Stesen KTM Batu Caves di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Datuk Azlan Shah Al Bakri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pemangku CEO Rapid Bus Ku Jamil Zakaria.
Loke berkata operasi tren tambahan sepanjang empat hari tiga malam itu, melibatkan 494 perjalanan meliputi 33 perkhidmatan bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, laluan Batu Caves-Pelabuhan Klang-Batu Caves (45 perkhidmatan) dan laluan KL Sentral-Batu Caves-KL Sentral (28 perkhidmatan).
Ia turut meliputi laluan Batu Caves-Bangi-Batu Caves (enam perkhidmatan) dan masing-masing tiga perkhidmatan bagi laluan Batu Caves-Sentul dan laluan Batu Caves-Subang Jaya.
"Perkhidmatan tren tambahan akan bermula selepas tren terakhir pada setiap hari, dengan waktu perkhidmatan seawal 9.55 malam bagi laluan dari Stesen Pulau Sebang ke Batu Caves dan seawal 9.30 malam bagi tren dari Stesen Pelabuhan Klang ke Batu Caves," katanya.
Bagi pengguna dari KL Sentral pula, perkhidmatan tren tambahan akan diselang antara perkhidmatan sedia ada bermula 11 pagi, menjadikan kekerapan lebih baik iaitu setiap 30 minit berbanding sejam pada hari biasa.
Selain itu, Loke memaklumkan Prasarana Malaysia Berhad melalui RapidKL dan RapidPenang turut menyediakan perkhidmatan shuttle (ulang-alik) percuma di lokasi ditetapkan pada 10 dan 11 Feb.
Bagi perkhidmatan RapidKL, 30 bas disediakan dari Hab Bandar Pasar Seni, LRT Gombak dan MRT Kampung Batu ke Batu Caves dengan frekuensi setiap 10 minit, manakala RapidPenang menyediakan 12 bas dengan kekerapan antara 20 hingga 60 minit dari jeti perkhidmatan feri ke Adventist.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd turut menawarkan perkhidmatan feri percuma selama 24 jam pada 10 dan 11 Feb dengan lanjutan perkhidmatan hingga 2.30 pagi 12 Feb.
Loke turut memaklumkan pengendali BAS.MY juga menyediakan perkhidmatan tambahan secara percuma di sekitar Johor Bahru, Seremban dan Ipoh untuk memudahkan penganut Hindu menggunakan perkhidmatan itu ke lokasi perayaan di kuil pada 11 Feb.
-- BERNAMA
#Thaipusam #KTMB #Anthony Loke #Lembah Klang #tambang percuma #terkini
;