Thaipusam: Meriah tetapi perlu hati-hati - Sivakumar
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 5, 2023 11:53 MYT
Februari 5, 2023 11:53 MYT
KUALA LUMPUR: Perayaan Thaipusam tahun ini disambut lebih meriah berbanding beberapa tahun kebelakangan ini, namun orang ramai diingat agar lebih berhati-hati dari segi penjagaan kesihatan dan kebersihan dalam meraikannya.
Menteri Sumber Manusia V Sivakumar yang ditemui di Batu Caves sempena sambutan perayaan penganut Hindu tersebut berkata, pengunjung kawasan itu perlu berjaga-jaga kerana ancaman COVID-19 masih wujud.
Katanya, perayaan tersebut sebelum ini tidak dapat dilaksanakan secara besar-besaran atas faktor keselamatan dan kekangan disebabkan pandemik yang melanda.
"Jadi, tahun ini, kita tidak dapat nafikan, sambutan Thaipusam memang agak besar. Bukan sahaja dari kalangan masyarakat beragama Hindu yang datang, tetapi juga kaum lain, serta pelancong asing," katanya.
"Malah, saya juga telah mengarahkan kesemua yang terlibat dalam sambutan perayaan kali ini agar menjaga kebersihan.
"Langkah berhati-hati perlu diambil oleh semua, untuk mengelakkan ancaman COVID-19," tambahnya.
Sivakumar turut berpuas hati dengan tahap keselamatan yang digerakkan oleh semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan kelancaran sambutan Thaipusam tahun ini.
Beliau berharap agar sambutan perayaan itu dapat berjalan lancar di seluruh negara tanpa sebarang masalah.