Thaipusam: MB Kedah tidak faham Rukun Negara? - Naib Presiden MIC

Umavathi Ramayah
Januari 23, 2021 19:15 MYT
Kohilan Pillay berkata, sebagai seorang pemimpin, Muhammad Sanusi perlu terlebih dahulu belajar untuk menghormati agama kaum-kaum lain. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Susulan pembatalan cuti perayaan Thaipusam di Kedah, Naib Presiden MIC, Datuk A. Kohilan Pillay melahirkan rasa sangsi dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Muhammad Sanusi katanya tidak memahami Rukun Negara kerana individu yang benar-benar menghayati dan memahami Rukun Negara tidak akan sama sekali mengeluarkan kenyataan yang dianggap bersifat perkauman.
"Saya percaya beliau tidak faham Rukun Negara. Apabila membuat sebarang kenyataan terutamanya melibatkan agama, beliau perlu merujuk kepada mereka yang pakar.
"Kalau tidak, jangan keluarkan kenyataan sensitif," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Kohilan Pillay berkata, sebagai seorang pemimpin, Muhammad Sanusi perlu terlebih dahulu belajar untuk menghormati agama kaum-kaum lain.
"Alasan yang kononnya Kelantan dan Terengganu tidak memberi cuti umum bagi sambutan Thaipusam adalah sesuatu yang tidak masuk akal.
"Tengoklah sendiri dan bandingkan jumlah populasi masyarakat India di Kelantan, Terangganu dan Kedah. Kedah mempunyai lebih 126,000 penduduk kaum India," jelasnya.
Ekoran itu, beliau menggesa Menteri Besar Kedah itu supaya memohon maaf secara terbuka.
Tindakan membatalkan cuti perayaan Thaipusam di Kedah menerima kencaman pelbagai pihak.
Meskipun berdepan pandemik COVID-19, masyarakat India di negara ini masih boleh menunaikan kepercayaan mereka di rumah masing-masing.
BACA: Tindakan MB Kedah batal cuti Thaipusam untuk puaskan agenda sendiri, dakwa pemimpin PKR
#Politik Malaysia #MIC #Menteri Besar Kedah #Thaipusam #cuti umum #pandemik #COVID-19 #A Kohilan Pillay #Muhammad Sanusi Md Nor
;