Thaipusam: Hampir 2,000 anggota PDRM dan agensi luar ditempatkan di Batu Caves esok

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 4, 2023 13:31 MYT
Datuk S. Sasikala Devi berkata, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak PDRM dalam memastikan keadaan sambutan Thaipusam kali ini sentiasa terkawal dan aman. - Astro AWANI
GOMBAK: Hampir 2,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama 11 agensi luar ditempatkan di sekitar kawasan Batu Caves bagi mengawal keadaan bersempena sambutan perayaan Thaipusam yang akan disambut esok.
Menurut Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi, pihaknya telah mengambil semua langkah dan persediaan awal bagi menjamin keselamatan pengunjung.
Jumlah kehadiran pengunjung ke kawasan itu juga katanya dijangka terus mencatatkan peningkatan bermula petang ini.
“Pengunjung-pengunjung yang datang ke sini (setakat ini) lebih kurang 300,000 orang iaitu masuk dan keluar.
“Jadi kami jangkakan menjelang perarakan Kavadi tiba kemungkinan pengunjung akan lebih ramai lagi pada sebelah petang dan keesokan harinya," katanya ketika hadir meninjau keadaan semasa di sini pagi tadi.
Setakat ini jelasnya keadaan tahap keselamatan di kawasan sambutan dan sekitarnya berada dalam keadaan yang baik.
Bagaimanapun beliau mengakui keadaan laluan trafik di sekitar laluan menuju ke Batu Caves sudah mula menunjukkan peningkatan dan kesesakan.
Pihaknya juga setakat ini telah mengeluarkan beberapa saman lalu lintas terhadap beberapa kenderaan yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak PDRM dalam memastikan keadaan sambutan Thaipusam kali ini sentiasa terkawal dan aman.
Ia penting memandangkan beberapa laluan di sekitar kawasan tersebut juga terpaksa ditutup atau dilencongkan ketika sambutan dijalankan.
Tinjauan Astro AWANI ke Batu Caves hari ini juga mendapati para penganut agama Hindu mula memenuhi kawasan tersebut seawal jam 8 pagi lagi.
Malah kehangatan perayaan itu turut dirasai oleh pelancong asing yang tidak mahu ketinggalan untuk melihat sendiri salah satu keunikkan yang dimiliki di Malaysia oleh warganya yang memiliki kepelbagaian latar belakang bangsa dan budaya yang unik.
#Thaipusam #Polis Diraja Malaysia #PDRM #Batu Caves
;