Thaipusam: Dua juta pengunjung dijangka banjiri Batu Caves, jalan ditutup
Bernama
Februari 2, 2023 19:29 MYT
Februari 2, 2023 19:29 MYT
KUALA LUMPUR: Dua juta penganut agama Hindu dan pengunjung dijangka membanjiri Batu Caves, di sini, sempena perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata, dijangka berlaku kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan berkenaan pada hari ini hingga 6 Feb.
Beliau berkata, perarakan Thaipusam juga akan bermula dari Jalan Tun H.S Lee, di sini pada tengah malam ini dan dijangka sampai ke Batu Caves Sabtu ini.
Sehubungan itu, menurutnya, tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan mula ditutup pada tengah malam ini hingga 8 Feb.
"Tujuh jalan yang ditutup adalah dari lampu isyarat Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah MRR2 ke Kuil Batu Caves, Jalan Batu Caves Lama ke pintu utama Kuil Batu Caves, simpang tiga lampu isyarat hadapan stesen minyak Shell, Batu Caves," katanya dalam sidang media di Dewan Martek, di sini hari ini.
Selain itu, simpang tiga Jalan SBC 8/ Jalan Lama Batu Caves, susur MRR2 dari Sri Gombak menghala susur Jalan Perusahaan Batu Caves dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.
Zainal Mohamed berkata, penutupan jalan di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu adalah untuk memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang Thaipusam berlangsung.
"Laluan alternatif yang dicadangkan polis akan di kemas kini melalui platform media sosial Facebook IPD Gombak. Pengguna jalan raya dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai dalam kenyataan hari ini berkata, pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S Lee ke Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves akan bermula 10 malam esok.
Beh berkata, beberapa jalan turut dilencongkan pada Sabtu ini bermula 4 pagi hingga 10 pagi melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah (kedua-dua hala) dari persimpangan lampu isyarat IPD Sentul ke lampu isvarat Jalan Perhentian.
Selain itu, pada 6 Feb bermula 6 petang hingga 12 tengah malam melibatkan Jalan Sultan Azlan Shah (kedua-dua hala) dari lampu isyarat Jalan Perhentian ke persimpangan lampu isyarat IPD Sentul.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan. - BERNAMA
- BERNAMA